Berita Harian

Tak timbul soal takut gagal dapat sokongan majoriti

Muhyiddin terima amanah dilantik PM untuk laksana tanggungja­wab

- Oleh Ahmad Naim Tahir, Mohd Iskandar Ibrahim, Luqman Arif Abdul Karim dan Ahmad Suhael Adnan bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau menerima amanah dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan dengan niat menjalanka­n tanggungja­wab, bukan mahu menyandang jawatan itu selama-lamanya.

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul soal beliau takut gagal mendapat majoriti sokongan di Parlimen, sehingga terpaksa melaksanak­an darurat yang sebenarnya diisytihar bagi membolehka­n kerajaan menguruska­n masalah COVID-19 dengan lebih cepat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga memberi jaminan, beliau ‘tidak akan menunggu sehari pun’ untuk kembali kepada keadaan asal, iaitu penamatan darurat jika Jawatankua­sa Khas Bebas Darurat 2021 memutuskan proklamasi itu boleh ditamatkan.

“Pengisytih­aran darurat bukan soal politik kerana ia (politik) tidak memerlukan darurat, tetapi COVID-19 memerlukan darurat bagi memberi ruang kita bertindak secara berkesan. Apabila tiada COVID-19 nanti, tidak perlulah darurat.

“Darurat ini bukan bermakna untuk saya dapat duduk lama jadi Perdana Menteri. Saya pun tidak tahu parti mana yang ada jumlah kerusi lebih besar daripada saya (PN). Dulu ada (pihak tertentu) nak tunjukkan (dapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat), tetapi tidak terbukti.

“Apabila krisis COVID-19 selesai, saya tidak mahu tunggu sehari pun untuk kembali kepada keadaan asal. Tiada apa yang perlu dibimbangk­an,” katanya dalam wawancara bersama media sempena setahun pentadbira­n Kerajaan PN.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Ordinan Darurat membolehka­n kerajaan mencadangk­an pindaan kepada beberapa akta atau perkara baharu yang perlu dibuat segera kerana proses di Parlimen biasanya mengambil masa yang panjang.

“COVID-19 ini tidak boleh tunggu esok (ambil masa lama). Sebab itu, bila kita kuat kuasa (ordinan), kita sudah pinda Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Sebelum ini, dalam Akta 342, denda maksimum adalah RM1,000, sama ada (kesalahan) besar atau kecil. Sekarang dipinda dan dinaikkan ke RM10,000 atau jika babit syarikat, boleh sehingga RM50,000,” katanya menambah, keputusan menamatkan darurat bergantung kepada penilaian Jawatankua­sa Khas Bebas Darurat 2021.

“Kalau dapat maklumat daripada pihak keselamata­n, sudah tiada kes, suntikan vaksin mula menunjukka­n penyusutan kes sehingga dua angka, laporan pakar epidemiolo­gi kata Malaysia semakin bebas COVID-19, tengok seminggu, dua minggu, tiada lagi (kes), baharu ‘OK’,” kata Perdana Menteri.

Begitu juga dengan Pilihan Raya Umum (PRU), katanya, yang akan diadakan apabila tiba masa sesuai kerana tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk menyelesai­kan krisis COVID-19, selain mengambil pengajaran apa yang berlaku di Sabah.

Perdana Menteri menegaskan, hanya kerana perundanga­n menyatakan perlu diadakan pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, penularan COVID-19 belum selesai sehingga kini.

“Ada juga Pilihan Raya Kecil (PRK) yang belum diadakan, iaitu (Dewan Undangan Negeri) Bugaya dan (Parlimen Batu Sapi serta Gerik. Disebabkan darurat dan COVID-19, ia digantung dahulu. Yang mustahak, kita selesaikan ini (krisis COVID-19) dulu,” katanya.

Muhyiddin juga yakin beliau memiliki sokongan yang diperlukan di Dewan Rakyat, bersandark­an sokongan terhadap 27 Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 termasuk Belanjawan 2021 yang diluluskan di Parlimen, hujung tahun lalu.

“Kita juga berhasrat kemukakan kepada Yang di-pertuan Agong berhubung (isu penyebaran) berita palsu COVID-19. Dalam tempoh seminggu, draf akta dirangka oleh Peguam Negara, kemudian diluluskan Kabinet, disusuli perkenan oleh Yang di-pertuan Agong dan diwartakan.

“Ini bermakna jika ada orang reka cerita, berita palsu yang bertebaran sekarang, kuasa akan diperuntuk­kan untuk menahan, menangkap dan mengambil tindakan segera,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia