Berita Harian

‘Saya ingin tinggalkan legasi untuk negara’

- Harapan untuk rakyat, negara

S: Tan Sri memimpin negara dengan 30 juta rakyat, bukan satu perkara mudah dalam keadaan biasa pun. Dengan krisis pandemik mengancam dunia, ketidakten­tuan politik dan bagi Tan Sri sendiri secara peribadi, terselamat daripada kanser. Apa yang mendorong Tan Sri?

J: Semuanya kerana kuasa Allah. Saya pun tidak pernah bermimpi, tetapi apabila dilantik, saya tahu ini amanah, tanggungja­wab besar dan jawatan paling penting dalam negara. Jadi saya sedar, apabila pegang amanah, sebagai seorang Islam, saya tidak boleh abaikan kerana akan ditanya di akhirat nanti.

Apa kamu buat kepada rakyat apabila menjadi Perdana Menteri, macam mana nak jawab? Jadi sekarang saya lakukan apa yang difikirkan terbaik untuk negara kerana saya tahu, saya mempunyai amanah. Walaupun saya tidak dipilih menerusi PRU seperti biasa dan mendapat mandat, tetapi disebabkan krisis, saya dilantik.

Jadi, yang menjadi pendorong saya ialah rasa tanggungja­wab dan amanah yang mesti saya tunaikan. Saya tidak boleh abaikan atau berehat di rumah, seronok jadi Perdana Menteri. Saya boleh maklumkan, sejak hari pertama menjadi Perdana Menteri, tiada lain saya fikirkan kecuali apa lagi yang boleh dibuat bagi menyelamat­kan Malaysia. Ini mesti kita buat, jika saya gagal, negara gagal. Kalau negara gagal, rakyat akan menderita, justeru ia tanggungja­wab yang sangat besar.

Sesetengah orang mungkin cemburu kerana saya jadi Perdana Menteri. Bukan saya tidak bersyukur, tetapi masya-allah, ini beban, amanah. Setiap kali saya diuji, saya lalui dengan berdoa supaya dipermudah­kan urusan. Tiap kali solat, mohon kepada Allah kerana saya yakin untuk berpegang kepada itu. Jika Allah izinkan, insya-allah kita akan berjaya. Itu pegangan terkuat dalam agama Islam.

S: Akhir sekali, apakah harapan Tan Sri untuk rakyat dan Malaysia?

J: Harapan saya ialah supaya Malaysia akan kembali seperti dulu, malah lebih daripada itu, menjadi sebuah negara cemerlang, gemilang, mencatatka­n kemajuan pembanguna­n yang lebih hebat. Sebab itu, saya laksanakan pelan MYDIGITAL dan pelbagai lagi kerana bagi saya, kalau dapat atasi masalah ini, kita sudah selesai satu bab, kita kena melihat ke depan, apa yang penting, di mana Malaysia dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang? Kalau banding dengan negara lain, kita (sepatutnya) sudah di depan, tetapi malangnya Malaysia masih di belakang.

Ini saya akui, bukan saya tidak terima, ia bukan kesalahan kita, tetapi itu keadaan kita. Lihat juga Jepun, Korea, suatu ketika dulu Korea datang sini belajar macam mana nak maju, tetapi sekarang mereka sudah maju, kita masih tertinggal di belakang. Pendapatan perkapita kita berbanding negara lain, masih kecil. Kenapa begitu? Sekarang masalah kemiskinan kita masih ada. Ini cabaran besar, bukan kerja main-main.

Saya komited, jika berikan tanggungja­wab ini kepada saya, saya akan lakukan sebaiknya. Bukan nak membangga diri, tetapi di mana saya dicampak, di kementeria­n mana, saya sentiasa buat yang terbaik. Saya ingin tinggalkan legasi, bukan untuk diri sendiri tetapi buat negara. Asalkan saya sudah buat yang terbaik. Sebab itu, paling penting, mari kita gembleng tenaga, semangat dalam kalangan rakyat kerana perpaduan dan kekuatan itu penting bagi melahirkan komitmen secara menyeluruh.

Saya yakin, kita boleh berjaya, Malaysia akan muncul antara negara paling membangun. Kita nak capai (status) negara maju menjelang 2020, sudah tertinggal pun 2020, tetapi belum kecapi lagi sasaran itu. Sekarang WKB (Wawasan Kemakmuran Bersama)), nak tengok 10 tahun lagi bagaimana? Itu komitmen saya untuk menjalanka­n tanggungja­wab saya, menentang rasuah, tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah dan buat apa yang terbaik bagi negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia