Berita Harian

4 rakyat Malaysia selamat dibawa pulang dari Indonesia

-

Johor Bahru: Empat rakyat Malaysia, termasuk dua nelayan dari Pantai Puteri, Melaka yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Depoh Imigrasi Bengkalis, Kepulauan Riau, selamat tiba di Terminal Feri Antarabang­sa Johor Bahru di Stulang Laut, di sini semalam.

Mereka tiba di terminal berkenaan pada jam 1 petang selepas menaiki feri dari Batam, Indonesia pada jam 10 pagi waktu Indonesia.

Nelayan terbabit, Md Roslan Kadir, 43 dan Faizal Jailani, 38, serta seorang lelaki yang ditahan kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Bengkalis, Mohd Faizul Hakimi, 21, serta kanak-kanak, Ahmad Radhi Abdullah, 11, menjalani ujian calitan COVID-19 sebaik tiba di terminal berkenaan.

Kedua-dua nelayan terbabit hanyut ke Lechah, Pulau Rupat dekat Bengkalis selepas enjin bot rosak ketika menangkap ikan di perairan Melaka pada 16 Februari lalu sebelum ditemukan penduduk Lechah terapung di atas perahu yang terbalik dipukul ombak besar di perairan Pulau Rupat pada jam 8 pagi 18 Februari lalu.

Urusan membawa pulang mereka dan segala kos dibiayai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang bekerjasam­a dengan Sekretaria­t Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang beribu pejabat di Ayer Keroh, Melaka.

Selepas menjalani ujian berkenaan mereka dibawa pegawai Kementeria­n Kesihatan KKM) ke sebuah hotel di bandar raya ini untuk menjalani kuarantin 10 hari.

Nor Azman berkata, beliau bersyukur kepada Allah kerana mengizinka­n mereka terbabit pulang ke negara ini dan sanggup mengeluark­an kos kira-kira RM20,000.

Mohd Faizul ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana tinggal melebihi tempoh pada November lalu, manakala Ahmad Radhi dibawa bapanya, Junaidi Tamam, 57, yang tinggal di Kampung Pasir, Tampoi di sini, pulang ke kampung di Tanjung Balai, Karimun Indonesia pada Februari tahun lalu.

Junaidi berkata, dia balik ke Kampung Pasir tanpa Ahmad Radhi yang tinggal di rumah neneknya tetapi tidak dapat membawanya pulang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia