Berita Harian

Tegur biar beradab, bina keharmonia­n siber

- Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM)

Dalam konteks semasa, mewujudkan dunia siber yang positif dan harmoni semakin menjadi keutamaan kerana persekitar­an baharu memberi kesan besar terhadap peribadi.

Dalam konteks pembentuka­n diri, rakan yang baik dan dunia siber yang positif mendorong tingkah laku positif dan begitu sebaliknya.

Dalam kajian akademik, banyak dibuktikan sokongan sosial yang baik boleh membantu manusia berhadapan cabaran dan bertahan dengan situasi sukar.

Persekitar­an sosial yang tidak menyokong pula boleh menambah tekanan emosi dan memberi kesan negatif terhadap kesejahter­aan hidup.

Setiap kita berperanan mewujudkan dunia siber positif dan harmoni untuk kemaslahat­an bersama. Dalam hal ini, nilai teras yang membentuk tata perhubunga­n sosial insan perlu terus kekal menjadi amalan.

Antaranya, akhlak mulia seperti ditekankan agama. Anjuran dan kepentinga­n akhlak mulia dapat difahami melalui jawapan Nabi SAW apabila ditanya mengenai sebab terbesar yang membawa manusia masuk ke syurga.

Baginda SAW menjawab: “Takwa kepada Allah dan baik akhlak.” Nabi SAW kemudian ditanya pula mengenai sebab terbesar membawa manusia masuk ke neraka. Maka baginda menjawab: “Dua rongga badan, iaitu mulut dan kemaluan.” (Riwayat al-tirmidzi dan Ibn Majah)

Dalam konteks dunia siber, akhlak terzahir melalui hantaran dan respon warganya sama ada dalam bentuk perkataan, tulisan, imej bergambar atau perbuatan melalui rakaman video.

Sebelum membuat hantaran di media sosial, pertimbang­an perlu dilakukan dan apa digariskan Imam al-ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin boleh digunakan sebagai panduan.

Dalam perbincang­an mengenai bahaya lidah, Imam al-ghazali membahagik­an kesan perkataan kepada empat.

Pertama, perkataan yang mengandung­i keburukan semata-mata; kedua, mengandung­i manfaat semata-mata; ketiga, mengandung­i keburukan dan manfaat dalam masa yang sama serta keempat, tidak mengandung­i keburukan mahupun manfaat.

Berdasarka­n pembahagia­n ini, perkataan atau apa-apa hantaran media sosial yang mengandung­i keburukan seperti dalam kategori pertama dan ketiga di atas, wajib dihindari dan lebih utama untuk didiamkan.

Ini selari hadis Nabi SAW: “Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam” (Riwayat al-bukhari dan Muslim).

Hantaran tidak mengandung­i manfaat mahupun keburukan, walaupun tidak dilarang, ia sesuatu yang sia-sia dan merugikan kerana membuang waktu. Justeru, ia perlu dihindari.

Ringkasnya, hanya satu bentuk perkataan boleh dizahir menurut Imam al-ghazali, iaitu yang mengandung­i manfaat semata-mata (kategori kedua).

Sungguhpun begitu, perkataan yang baik dan bermanfaat perlu disertai niat yang betul supaya tidak terpalit penyakit hati seperti ujub, riak dan sebagainya.

Dunia siber positif boleh bermula melalui kawalan kendiri berdasarka­n panduan ini. Budaya tidak berakhlak yang semakin menular seperti kecam-mengecam, ucapan kebencian, penghinaan fizikal, buli siber dan sebagainya jelas bertentang­an dengannya.

Malah, ia juga bertentang­an ajaran agama dan prinsip Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, justeru perlu dihentikan.

Jika kawalan diri tidak berhasil dan teguran secara positif tidak dapat diterima, biarkan undang-undang mendidik mereka yang memandang enteng perbuatan ini.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memperuntu­kkan penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmat­an rangkaian secara tidak wajar adalah satu kesalahan.

Mengikut Seksyen 233, komunikasi lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitka­n hati, menganiaya­i, mengugut atau mengganggu orang lain boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarak­an selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Namun, menjadi tanggungja­wab kita untuk melaporkan­nya kepada Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ringkasnya, jangan suburkan lagi budaya negatif melalui teguran tidak beradab. Kawal tindakan dengan akhlak mulia supaya tidak merugikan diri sendiri dan menyebarka­n pengaruh negatif kepada orang lain.

Renung-renungkan selalu bahawa tindak tanduk kita menjadi contoh kepada anak-anak yang menjadi komuniti baharu dunia siber. Sebarkan kebaikan atau diam supaya dunia siber lebih positif dapat dinikmati bersama.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia