Berita Harian

Belanja berhemat demi teruskan kelangsung­an hidup

- Oleh Dr Mohd Ali Muhamad Don bhagama@bh.com.my Penulis adalah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontempora­ri (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UITM) Pasir Gudang

Pada musim pandemik ramai lebih selesa berbelanja secara dalam talian.

Pembeli tidak perlu beratur panjang menunggu giliran untuk masuk ke sesebuah kedai, tidak perlu mendaftar dan tidak juga perlu mengimbas suhu badan.

Cukup sekadar mencari barang diperlukan di laman sesawang, bayar dan tunggu barang dihantar ke rumah masing-masing.

Pembeli juga tidak perlu bimbang mengenai risiko penyakit berjangkit ataupun berlaku kejadian lain yang tidak diingini.

Namun, ada baik dan buruknya berbelanja dalam talian. Tanpa kita sedar kemungkina­n untuk membeli barangan yang tidak diperlukan akibat terkesima dengan tawaran harga murah ataupun tiada caj penghantar­an dikenakan.

Tanpa disedari juga, jumlah wang dalam akaun bank habis atau ‘surut’ sedikit demi sedikit.

Oleh itu, pengguna diajak sentiasa berhemat ketika berbelanja dan hanya membeli apa yang diperlukan sahaja.

Beli mengikut tahap keperluan asasi, keperluan pelengkap atau pun keperluan mewah.

Dalam Islam hierarki keperluan asasi dikenali juga dengan keperluan darurat, yang mana jika barangan itu tiada, sukar untuk manusia meneruskan kehidupan.

Ini termasuk keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Secara spesifikny­a ia berkaitan dengan keperluan untuk menjaga prinsip maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Hal ini seperti mana disebutkan al-imam al-syatibi dalam Teori Maqasid Syariah.

Keperluan pelengkap pula adalah keperluan yang melebihi daripada keperluan asasi atau juga disebut keperluan keselesaan.

Ini seperti ada lauk pauk, selain nasi untuk dimakan. Ada kelengkapa­n rumah secara sederhana seperti katil, sofa, peti sejuk dan lain-lain serta memiliki motosikal ataupun kereta untuk kegunaan seharian.

Keperluan mewah pula adalah barang mewah yang hanya mampu dibeli golongan berpendapa­tan tinggi seperti kereta mewah, rumah mewah dan barang-barang perhiasan mewah.

Islam tidak menggalakk­an umatnya berbelanja mewah kerana pada harta seseorang itu ada juga hak golongan fakir dan mereka yang memerlukan.

Bagi mengelak berbelanja sakan dalam suasana pandemik ini, pengguna dinasihatk­an membeli barangan keperluan harian diperlukan untuk meneruskan kelangsung­an kehidupan. Ia hendaklah didahuluka­n daripada barangan lain.

Begitu pula perkhidmat­an berkaitan keperluan penting juga hendaklah diutamakan.

Makanan yang mencukupi untuk seisi keluarga, keperluan pakaian seharian, termasuk anak yang akan bersekolah dan rumah yang dapat dijadikan tempat berteduh hendaklah disediakan.

Begitu pula kos untuk bayaran perkhidmat­an utiliti seperti air dan elektrik, malah keperluan data internet juga, termasuk dalam keperluan asasi.

Elakkan juga membazir dan berlebih-lebihan sehingga perbelanja­an berkaitan keperluan asasi tidak dapat dipenuhi.

Hal ini selari dengan firman Allah SWT: “Sesungguhn­ya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-nya.” (Surah al-israa, ayat 27).

Semoga dengan berhemat ketika berbelanja dapat memenuhi keperluan seharian secara sederhana, pada masa sama, dapat mengimbang­i sumber pendapatan yang berkuranga­n dan keperluan sara hidup pada musim pandemik ini.

Semoga pandemik COVID-19 akan segera berakhir untuk kita semua terus berkerja dan beribadah kepada Ilahi, demi meneruskan kelangsung­an hidup di atas muka bumi ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia