Berita Harian

Peluang beli saham syarikat sarung tangan

Masa sesuai tingkat pegangan, permintaan global dijangka kekal tinggi

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin zaky@bh.com.my

Kejatuhan harga saham penjagaan kesihatan khususnya pengeluar sarung tangan di Bursa Malaysia hampir 20 peratus dalam tempoh sebulan menjadi penilaian menarik kepada pelabur untuk meningkatk­an pegangan dalam kaunter terbabit.

Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry

Rosli, berkata harga saham berkaitan penjagaan kesihatan sudah melakukan pembetulan harga yang agak lama dan kini ia berada pada paras yang agak menarik perhatian pelabur jangka panjang.

“Ini masa yang sesuai. Jadi, pelabur mula membeli saham berkaitan penjagaan kesihatan seperti sarung tangan berdasarka­n faktor penilaian semasa yang menarik dan prospek perniagaan yang positif pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi BH, baru-baru ini.

Nazarry berkata, kejatuhan harga saham pengeluar sarung tangan seperti Top Glove Corporatio­n (Top Glove) dan Hartalega Holdings Bhd disebabkan sentimen pelabur yang agak negatif terhadap sektor penjagaan kesihatan buat masa ini.

“Ia (kejatuhan) ada kaitan dengan ketibaan vaksin dan kemampuan syarikat berkaitan penjagaan kesihatan untuk menyiapkan produk mengikut kadar permintaan semasa,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, dengan berkata berdasarka­n permintaan sarung tangan getah global dijangka kekal tinggi berbanding sebelum pandemik, mungkin sekarang masa yang sesuai untuk meningkatk­an pegangan dalam kaunter berkenaan.

“Peluang pelabur menambah pegangan dan pasti untuk pelaburan jangka masa panjang,” katanya.

Adam berkata, pelabur belum sedar mengenai prospek sarung tangan pasca COVID-19, sekali gus mengheret kaunter berkaitan jatuh mendadak.

“Ini adalah akibat sentimen buruk terhadap sektor sarung tangan getah berikutan program vaksinasi negara.

“Meskipun permintaan terhadap sarung tangan getah dijangka kukuh selepas vaksinasi dijalankan dengan masyarakat dunia mempunyai kesedaran kebersihan lebih tinggi, namun kebanyakan pelabur tidak sedar perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, kejatuhan harga saham itu sebahagian daripada pembetulan akibat kenaikan yang tinggi baru-baru ini.

“Pergerakan harga saham akan dipengaruh­i perkembang­an vaksin dan mutasi COVID-19 lebih merbahaya yang mungkin tidak dapat ditangani sepenuhnya dengan vaksin sedia ada,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia