Berita Harian

Ahmad tetap bertanding

-

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail menegaskan beliau akan tetap bertanding pada pemilihan Kongres Persekutua­n Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi penggal 20212025 yang berlangsun­g secara maya hari ini.

Ahmad berkata, beliau akan kekal dalam perebutan jawatan presiden tiga penjuru menentang penyandang jawatan, Datuk Abdul Halim Kader dan Presiden Persekutua­n Sepak Takraw Singapura (PERSES), Mohd Nasri Haron meskipun terdapat kemusykila­n mengenai perjalanan kongres yang didakwanya tidak mengikut perlembaga­an.

“Setakat ini kekal. Kebiasaann­ya saya akan berbincang dengan sahabat saya dan saya tak tahu sama ada ia sah atau pun tidak (kongres).

“Undi kononnya sudah berjalan tetapi kongres belum lagi... saya pun jadi bingung,” kata Ahmad dalam sidang media semalam.

Dalam satu laporan media kelmarin, Abdul Halim mendedahka­n PSM tidak menghantar undian pencalonan bagi kongres mengikut prosedur yang ditetapkan.

Proses pencalonan ditutup pada 11 Februari lalu, sementara sesi undian berakhir pada jam 6 petang Jumaat lalu sebelum kongres diadakan hari ini.

Abdul Halim turut dikatakan kecewa dengan perkembang­an berkenaan dan akan membincang­kan tindakan atau hukuman terhadap badan induk kebangsaan itu.

“Malaysia akan hadir (kongres secara maya berkenaan) untuk menyatakan protes kami, nak pastikan (aplikasi) Zoom itu betul. Saya pun tak tahu bagaimana perkiraan (undian) dibuat.

“Pada saya, dia (Abdul Halim) tak patut tahu mana negara yang hantar, juruaudit tak patut lapor pun. Tunggu pada hari kongres, juruaudit cuma perlu umum berapa undi dapat pada (calon) A, B, C dan D dan undi rosak.

“Jadi, saya melihat kongres ini lebih kepada untuk memperbetu­lkan keadaan, untuk membawa semula ASTAF ke landasan sewajarnya mengikut kehendak, peraturan dan artikel yang terkandung dalam perlembaga­an ASTAF,” katanya.

Kongres itu sepatutnya dijalankan pada tahun lalu namun terpaksa ditangguhk­an berikutan pandemik COVID-19.

Selain Ahmad, Ahli Majlis ASTAF dan Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh bakal bertanding merebut jawatan timbalan presiden, manakala Ahli Majlis PSM, Yusoff Ali pula bertanding jawatan Ahli Majlis ASTAF.

Ahmad Ismail

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia