Berita Harian

Jumlah kes baharu terus menurun

-

Putrajaya: Malaysia melaporkan 1,280 kes baharu COVID-19 semalam, terendah sejak Ordinan Darurat dilaksanak­an pada 11 Januari lalu.

Jumlah itu juga menunjukka­n penurunan empat hari berturut-turut

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambaha­n kes semalam menjadikan jumlah kumulatif mencecah 316,269 kes.

Beliau berkata, Selangor melaporkan kes harian tertinggi dengan 464 kes atau 36.3 peratus dan daripada jumlah itu 368 kes atau 79.3 peratus dikesan dalam kluster sedia ada dan saringan kontak rapat yang aktif di lapangan.

“Ini diikuti Johor dengan 165 kes atau 12.9 peratus serta Sarawak, iaitu 163 kes bersamaan 12.7 peratus,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes semalam, lima atau 0.4 peratus dikesan dalam kluster dalam penjara.

Dua kes masing-masing dikesan dalam Kluster Tembok Pengkalan Chepa dan Kluster Penjara Jalan Harapan, manakala satu kes dalam Kluster Jalan Awang.

Pertambaha­n kes menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjan­gkitan COVID-19 di negara ini sebanyak 18,704 kes.

“Sehingga kini 155 kes masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 76 daripadany­a memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat sembilan kes kematian termasuk membabitka­n lapan warganegar­a.

Empat kes kematian dilaporkan di Selangor dan masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Terengganu, Perak, Sabah dan Sarawak.

“Kes kematian hari ini (semalam) membabitka­n pesakit berusia antara 38 hingga 88 tahun dan kebanyakan­nya mempunyai pelbagai penyakit kronik,” katanya.

Mengenai sembilan kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata, enam daripadany­a dikesan di tempat kerja, dua dalam kalangan komuniti, manakala satu membabitka­n kumpulan berisiko tinggi.

“Kluster komuniti yang dikesan hari ini dikenali Kluster Jalan Setia Jaya membabitka­n daerah Batu Pahat, Johor.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-314,352) dilaporkan positif hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini membabitka­n majlis keraian yang berlangsun­g di Jalan Setia Jaya Utama, Batu Pahat dan sehingga kini sudah menjangkit­i 28 kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kluster membabitka­n tempat kerja, Kementeria­n Kesihatan (KKM) mengesan Kluster Lorong Kilang membabitka­n daerah Petaling dan Klang serta sudah menjangkit­i 41 kes.

Beliau berkata, Kluster Jalan Nusa Mega (Johor Bahru) pula dikesan menjangkit­i 36 kes dan Kluster Jalan Industri A1 (Tangkak, Johor) menjangkit­i 21 kes.

Katanya, KKM turut mengesan Kluster Medan Bayan Lepas (Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang) menjangkit­i 65 kes.

Kluster lain yang dikesan ialah Kluster Tapak Bina Jalan U-thant membabitka­n daerah Titiwangsa serta sudah menjangkit­i 35 kes.

“Kluster seterusnya dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Jalan Salak di Lembah Pantai serta sudah menjangkit­i 16 kes dan Kluster Amanjaya (Kuala Muda, Pendang dan Yan di Kedah) menjangkit­i 16 kes.

“Kluster terakhir ini dinamakan Kluster Sungai Lembing di daerah Kuantan dan sudah menjangkit­i 13 kes,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumka­n sehingga jam 12 tengah semalam sebanyak 2,345 kes sembuh dilaporkan dan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 296,379 kes atau 93.7 peratus.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Koperal Mohd Ishak Mohd Saad memeriksa aplikasi Mysejahter­a pengunjung ketika pemantauan pematuhan SOP di sebuah pasar raya di Pendang, semalam.
(Foto BERNAMA) Koperal Mohd Ishak Mohd Saad memeriksa aplikasi Mysejahter­a pengunjung ketika pemantauan pematuhan SOP di sebuah pasar raya di Pendang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia