Berita Harian

Kerajaan kaji semula harga rumah PPK

RM48,000 seunit sukarkan kontraktor dapat untung

- Oleh Noorazura Abdul Rahman bhnews@bh.com.my

Pendang: Kerajaan akan mengkaji semula harga rumah menerusi Projek Pemajuan Kawasan (PPK) selepas mendapati kontraktor kurang berminat menyertai tender pembinaan kerana tawaran harganya yang rendah.

Menteri Pembanguna­n Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata harga RM48,000 seunit rumah menerusi program perumahan rakyat termiskin (PPRT) ketika ini tidak sesuai dengan harga pasaran, sekali gus menyukarka­n kontraktor mendapat keuntungan.

“Harga RM48,000 seunit rumah dengan keluasan 663 kaki persegi yang ditetapkan agak rendah, menyebabka­n tender pembinaan ditolak kontraktor.

“Jika ramai kontraktor menolak untuk membina rumah ini, sukar untuk kita mencapai sasaran membina 3,000 unit rumah PPK setahun, maka kita mengkaji harga ini supaya dapat keluarkan tender dengan cepat dan teratur,” katanya selepas majlis perasmian Taman Desa Tawakkal (PPK Hujung Keton) di Kampung Hujung Keton di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Dr

Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Dr Abd Latiff berkata, 30 PPK ada di seluruh negara dan pemilihan rumah dilakukan mengikut syarat ketat serta prosedur telus.

“Tiada pilih kasih dari segi pemilihan kerana kita ada prosedur operasi standard (SOP) yang telus, maka saya harap penerima tidak menyewakan­nya kepada pihak ketiga.

“Rumah ini kita beri untuk didiami dan mereka harus patuhi perjanjian ditetapkan,” katanya.

Sebanyak 57 keluarga golongan miskin tegar dan miskin menerima rumah baharu secara percuma PPK Hujung Keton, semalam.

Dr Abd Latiff berkata, PPK Hujung Keton yang dinamakan semula sebagai Taman Desa Tawakkal dibina dengan kos RM11 juta di tanah seluas lebih tiga hektar.

Dr Abd Latiff Ahmad

“Kawasan ini dilengkapi bekalan air, elektrik, loji rawatan kumbahan dan gelanggang futsal. Ini lambang kejayaan projek Kementeria­n Pembanguna­n Luar Bandar yang dilaksana KEDA bagi memanfaatk­an 300 penduduk luar bandar yang tidak mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

PPK Hujung Keton dibina di bawah projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKE-11) dan 50 unit PPRT dibina di kawasan itu sejak 2004.

Sementara itu, penerima yang juga orang kelainan upaya (OKU), Muhammad Faris Mat, 48, bersyukur dipilih menerima kediaman itu selepas menyewa kira-kira 16 tahun.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia