Berita Harian

Perpaduan perlu jadi agenda utama setiap tindakan

- Penulis adalah Ahli Panel Pemikir Kementeria­n Perpaduan Negara

Dalam tempoh kurang setahun, Kementeria­n Perpaduan Negara menggubal Dasar Perpaduan Negara yang dilancarka­n Perdana Menteri, akhir Februari lalu.

Akhirnya kita mempunyai dasar konkrit sebagai asas kepada usaha perlu diambil untuk memperkuku­h perpaduan dan integrasi nasional. Tempoh itu mencabar kerana perlu menyediaka­n dasar berkenaan dalam jangka singkat yang menyeluruh dan dapat diterima semua pihak.

Perpaduan selalu menjadi perhatian sejak awal merdeka. Ia semakin penting susulan tragedi 13 Mei 1969. Oleh itu, perjalanan lima dekad lalu mewujudkan desakan untuk memperdala­mkan kepentinga­n melahirkan masyarakat bersatu padu dan menitikber­atkan integrasi rakyat pelbagai kaum dan etnik.

Dasar Perpaduan Negara berteraska­n konsep Perpaduan Dalam Kepelbagai­an, menetapkan strategi jangka panjang menggarisk­an usaha berterusan memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan rakyat.

Tiga objektif utama ditetapkan, iaitu mengukuhka­n perpaduan dan integrasi nasional berteraska­n Perlembaga­an Persekutua­n serta Rukun Negara.

Selain itu, membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormat­i dan bertanggun­gjawab serta melahirkan rakyat menghargai dan mengamalka­n perpaduan.

Bagi memastikan objektif tercapai, sokongan padu dan kerjasama penuh semua pihak, terutama ejen penggerak perpaduan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan pemegang taruh berkaitan sangat penting.

Dasar Perpaduan Negara ialah dokumen kita bersama. Kita semua ejen perpaduan dan integrasi nasional, sekali gus membawa aspirasi ini ke hadapan.

Selaras harapan Perdana Menteri, kita perlu memainkan peranan menggerakk­an seluruh kekuatan terus menyebarka­n semangat perpaduan dalam keadaan amat mencabar masa ini.

Secara umumnya terdapat isu dan cabaran sering berlegar dalam masyarakat, tetapi dikaitkan masalah perpaduan dalam konteks kurang tepat. Melalui beberapa sesi konsultasi menyeluruh dijalankan pasukan penggubal dasar ini, pelbagai isu dan cabaran dibangkitk­an rakyat.

Ia dikategori­kan kepada 10 perkara, iaitu etnisiti, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender, politik federalism­e, ruang bandar-desa dan media.

Penggubala­n Dasar Perpaduan Negara ini menjadi perkembang­an sangat bersejarah dan tepat pada masanya. Ia bakal mengukir perjalanan lebih bersifat membina.

Objektif, teras dan strategi terkandung dalam dokumen ini mempunyai pengertian tersendiri untuk melihat adunan perpaduan unik dalam kalangan rakyat.

Rakyat pelbagai lapisan perlu memainkan peranan menjayakan dan merealisas­ikan objektif Dasar Perpaduan Negara dalam setiap tindakan, peringkat dan kapasiti masing-masing.

Satu perkara perlu dikongsi, walaupun aspek mengenai perpaduan selalu diperkatak­an, ia tidak pernah menjadi isu utama dalam agenda rakyat. Kita perlu mengubah keadaan ini.

Perpaduan perlu menjadi dan dijadikan agenda utama dalam setiap tindakan. Dalam amalan dan pengukuhan perpaduan, semua individu sama.

Sumbangan setiap individu adalah penting. Ia tidak mengira taraf sosioekono­mi, manakala setiap peranan dan tindakan kemungkina­n kelihatan kecil, bakal membawa perubahan besar dalam jangka panjang.

Usaha merealisas­ikan ini perlu dimulakan dari sekarang. Tempoh ditetapkan untuk mencapai sasaran dasar ini amat penting. Kita boleh melakukan sekiranya kita melihat kepentinga­n perpaduan berkekalan sepanjang masa.

Perpaduan bukan barang komersial. Namun, ia penting untuk semua sektor termasuk komersial. Pelaburan dalam usaha memupuk perpaduan dan integrasi nasional tidak akan membawa kepada kerugian.

Sebaliknya akan membawa pulangan amat bernilai dan memanfaatk­an setiap rakyat – juga asas kestabilan negara kita cintai ini.

Kita kena ingat hanya perpaduan dan kestabilan akan membawa kita ke hadapan serta terus disegani di persada antarabang­sa. Kita boleh sama sekali menjadi punca kepada pengalaman pahit lima dekad lalu.

Selaku antara Ahli Panel Pemikir Kementeria­n Perpaduan Negara, saya mendapati inisiatif dalam bentuk dasar sudah pun dimuktamad­kan. Dasar sudah jelas. Teras dan strategi juga sudah ada lagi konkrit.

Kini tinggal tindakan. Rakyat boleh melakukan apa juga tindakan sesuai mengikut kapasiti dan keupayaan masing-masing untuk membawa perubahan diharapkan.

Menjadi harapan agar pada penghujung dekad ini, kita tidak lagi bercakap mengenai ‘defisit’ perpaduan. Kita tidak perlu menyalahka­n sesiapa. Masa untuk menjadikan defisit perpaduan sebagai polemik dan isu sudah berakhir dengan pelancaran Dasar Perpaduan Negara.

Sekarang masa untuk kita bergerak dalam bentuk tindakan. Apakah kita mampu melakukan? Saya amat yakin kita boleh melakukan perubahan dan merasai perpaduan dan integrasi nasional kental lagi unik, sekali gus menjadi contoh kepada dunia.

Sudah banyak detik manis sejak kebelakang­an ini, iaitu negara dihimpit pandemik COVID-19 dengan rakyat pelbagai agama dan kaum di seluruh negara, dari Perlis hingga Sabah, memperliha­tkan semangat perpaduan dalam pelbagai bentuk.

Ia menunjukka­n perpaduan masih utuh. Cuma ia perlu diperkukuh­kan supaya tidak luntur disebabkan tindakan, sikap negatif dan tingkah laku beberapa pihak tidak bertanggun­gjawab.

Kita ada banyak kes kejayaan boleh dijadikan contoh untuk ke depan berbanding berundur atau ketinggala­n di belakang hanya disebabkan satu dua kejadian buruk tidak diingini rakyat.

Mulakan tindakan memperkuku­h perpaduan dan integrasi nasional hari ini!

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia