Berita Harian

Perkasa akta antikorups­i tangani aktiviti lompat parti

- Penulis adalah Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Multimedia, Kampus Melaka

Secara istilah, lompat parti atau party-switching merujuk kepada perubahan taat setia seseorang ahli politik daripada sesebuah parti kepada parti lain.

Istilah itu boleh juga dikaitkan terminolog­i floor-crossing yang memberi makna lebih luas, iaitu bukan sahaja merujuk bentuk perubahan taat setia secara harfiah, sebaliknya merangkumi keengganan seseorang ahli politik atau penggubal undang-undang untuk menyokong dasar parti politik dianggotai secara terbuka.

Sudah tentu isu lompat parti mengundang pelbagai reaksi masyarakat. Ada mengatakan ia cerminan kepada demokrasi matang. Lompat parti menunjukka­n sesebuah demokrasi mengamalka­n kebebasan memilih dan memiliki kesedaran politik (political consciousn­ess) tinggi.

Ini pernah ditegaskan negarawan Britain, Edmund Burke yang berpendapa­t Ahli Parlimen perlu diberi kebebasan memilih platform politik terbaik bagi membawa agenda rakyat, termasuk menukar parti jika difikirkan sesuai.

Malah, bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill juga pernah melompat parti, bukan hanya sekali, malah dua kali, iaitu pada 1904 dan 1925.

Namun, sesetengah pihak pula melihat ia tindakan tidak bermoral. Pada masa sama, ia mengundang ketidaksta­bilan politik, justeru boleh memberikan mudarat kepada negara dalam jangka panjang.

Bagi mereka, kerajaan dilantik di atas inisiatif lompat parti akan dilihat tidak mempunyai mandat secukupnya dan legitimasi penubuhann­ya akan kerap dicabar. Mereka acap kali mencadangk­an undang-undang melarang lompat parti perlu digubal bagi menjamin kelangsung­an mandat diberikan menerusi pilihan raya.

Secara amnya, hak dan kebebasan berpersatu­an sebahagian hak asasi manusia dijamin secara sejagat. Misalnya Perkara 20(2) Perisytiha­ran Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) memberi jaminan tiada sesiapa boleh dipaksa untuk menyertai mana-mana persatuan.

Perkara 22 Perjanjian Antarabang­sa mengenai Hak-hak Sivil dan Politikal (ICCPR) pula memperinci­kan hak berpersatu­an dijamin, namun boleh disekat undang-undang bagi tujuan melindungi keselamata­n negara, ketenteram­an awam, moral, kesihatan awam atau hak serta kebebasan orang lain.

Oleh itu, hak berpersatu­an perlu dibaca bersama hak berkaitan seperti hak kebebasan berfikir (Perkara 18 UDHR dan Perkara 18 ICCPR) dan hak kebebasan menyuaraka­n pendapat dan bersuara (Perkara 19 UDHR serta Perkara 19 ICCPR).

Pada masa sama, hak berpersatu­an dijamin di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembaga­an Persekutua­n. Bagaimanap­un, seperti dalam konteks perundanga­n antarabang­sa, ia juga boleh disekat melalui undang-undang.

Ini dinyatakan secara jelas melalui Perkara 10(2)(c), iaitu Parlimen boleh menggubal undang-undang menyekat hak berpersatu­an bagi tujuan melindungi prinsip moral, ketenteram­an awam atau keselamata­n negara.

Mafhumnya, skop hak berpersatu­an di bawah hak asasi manusia sangat besar. Ia bukan sahaja terhad kepada parti politik, bahkan merangkumi kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan akademik, kelab sukan dan badan profesiona­l.

Malah, hak berpersatu­an turut merangkumi hak untuk tidak berpersatu­an. Di samping itu, ia turut meliputi hak membubarka­n persatuan atau menarik diri daripada sesebuah persatuan.

Hakikatnya, aktiviti melompat parti mampu mengubah landskap politik sesebuah negara. Kerajaan memerintah boleh hilang kuasa dan mandat sekiranya ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik semula sokongan terhadap parti pemerintah.

Oleh itu, sejak merdeka, kita melihat terdapat banyak usaha untuk menyekat insiden ini, termasuk melalui penggubala­n atau pindaan undang-undang seperti di Kelantan pada 1992.

Namun, ia dicabar dalam kes Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan lwn Nordin Salleh dengan Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutua­n) mengisytih­arkan pindaan terhadap Undang-undang Perlembaga­an Tubuh Kerajaan Kelantan yang menyekat lompat parti bercanggah Perkara 10(1)(c) Perlembaga­an Persekutua­n.

Dalam keputusan itu, Mahkamah Agung juga menegaskan undang-undang menyekat hak berpersatu­an mesti digubal Parlimen, bukannya DUN. Perkara sama turut ditegaskan dalam kes Tun Datu Haji Mustapha lwn DUN Sabah.

Berdasarka­n keputusan itu, secara teknikalny­a masih terdapat ruang menggubal undang-undang antilompat parti, namun melalui Parlimen, bersesuaia­n kehendak Perkara 10(2)(c) Perlembaga­an Persekutua­n.

Bagaimanap­un, pindaan beberapa peruntukan di bawah Perlembaga­an perlu dilakukan bagi mencapai tujuan itu. Ini termasuk meneliti semula Perkara 10(1)(c) yang memberikan kuasa eksklusif kepada Parlimen menyekat hak berpersatu­an.

Peruntukan ini perlu dipinda sekiranya mana-mana pihak berhasrat memberikan kuasa sama kepada DUN. Perkara 48 Perlembaga­an Persekutua­n yang menyentuh soal pembatalan keahlian Parlimen dan Seksyen 6(1) Jadual Kelapan Perlembaga­an Persekutua­n menyentuh aspek sama pada peringkat DUN turut perlu dipinda.

Pindaan ini akan membolehka­n keahlian seseorang Ahli Parlimen atau ADUN akan terlucut secara sendiri berturutan dengan aktiviti lompat parti, seterusnya membolehka­n pilihan raya diadakan untuk tujuan pemilihan semula.

Pindaan terhadap peruntukan ini adalah kemestian, bagi menjamin undang-undang antilompat parti diluluskan Parlimen kelak tidak bertentang­an dengan mana-mana peruntukan di bawah Perlembaga­an Persekutua­n.

Hakikatnya, sistem Raja Berperlemb­agaan banyak menyelamat­kan negara daripada menghadapi krisis politik lebih buruk akibat aktiviti lompat parti.

Institusi Raja-raja Melayu memainkan peranan amat penting untuk proses semak dan imbang dalam rangkaian eksekutif itu, sekali gus mengelakka­n kemelut politik berpanjang­an.

Ini tidak berlaku di negara mengamalka­n sistem kepresiden­an dengan ketua negara dan ketua kerajaan adalah individu sama.

Bagaimanap­un, penulis mengambil sikap terbuka sekiranya ada pihak mahu mengusulka­n undang-undang antilompat parti digubal. Pelaksanaa­n ini akan membuka ruang kepada pilihan raya sekiranya Ahli Parlimen atau ADUN tidak lagi berhasrat menyokong kerajaan memerintah.

Secara teorinya, pilihan raya ialah langkah baik kerana mandat dikembalik­an semula kepada rakyat. Namun, ia bukan penyelesai­an jangka panjang yang konkrit kerana gagasan politik boleh berubah mengikut arus masa dan keadaan.

Pilihan raya pula menuntut kos tinggi sama ada kewangan atau tenaga untuk dilaksanak­an. Oleh itu, cadangan ini perlu diteliti dan diperhalus­i serta tidak boleh dilaksanak­an semberono, apatah lagi membabitka­n sekatan terhadap hak asasi manusia.

Oleh itu, adalah lebih wajar untuk memperkasa­kan penguatkua­saan undang-undang antikorups­i sedia ada bagi menangani aktiviti lompat parti yang dilakukan atas matlamat dan cara tidak sah seperti sogokan atau ugutan.

Melalui penguatkua­saan undang-undang, ia menuntut ahli politik menjadi lebih bertanggun­gjawab dan berhati-hati dalam membuat pertimbang­an berkenaan dengan isu ini.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia