Berita Harian

PBB gesa penunjuk perasaan Myanmar dibebaskan

-

New York: Pertubuhan Bangsabang­sa Bersatu (PBB) menggesa ratusan penunjuk perasaan yang ‘dihadang’ dalam kompleks pangsapuri di Yangon, Myanmar, dibebaskan dengan selamat.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, membuat desakan itu susulan ketegangan kian memuncak yang menyaksika­n pasukan keselamata­n Myanmar mengambil tindakan keras terhadap penunjuk perasaan antijunta.

Jurucakapn­ya, Stephane Dujarric, berkata Guterres menuntut pembebasan semua individu berkenaan secara selamat tanpa keganasan mahupun tangkapan bersama kawalan maksimum.

“Ramai terperangk­ap dalam insiden itu adalah wanita yang berarak secara aman sempena Hari Wanita Sedunia,” katanya.

Menurut pejabat hak asasi PBB, polis didakwa mula melepaskan tembakan dan membuat tangkapan di Yangon kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Bagaimanap­un setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada penahanan berkenaan membabitka­n mereka yang sedia terperangk­ap itu ataupun kumpulan penunjuk perasaan baru tiba.

Myanmar dibelenggu krisis sejak tentera melancarka­n rampasan kuasa pada 1 Februari lalu yang mencetuska­n tunjuk perasaan besar-besaran oleh segenap lapisan rakyatnya.

Pasukan polis dan tentera bertindak balas secara keras yang sehingga kini menyaksika­n lebih 50 individu maut, selain hampir 1,800 lagi diberkas.

“Kami menggesa hak rakyat Myanmar dalam kebebasan berhimpun serta bersuara, dihormati ketika mereka mengadakan tunjuk perasaan secara aman dan menzahirka­n harapan serta hasrat untuk masa depan tanah air mereka,” kata Dujarric.

Beliau turut memaklumka­n, Guterres sudah menerima sepucuk surat daripada ‘utusan khas’ ke PBB yang dilantik sebuah jawatankua­sa mewakili Parlimen Myanmar tetapi terpaksa bergerak secara rahsia berikutan rampasan kuasa itu.

“Setahu saya, kami belum ada sebarang kontak dengan individu itu. Namun, kami akan terus menghubung­i pihak yang mungkin ada kontak dengan beliau,” katanya.

Dalam surat terbabit yang dilihat AFP, utusan hanya dikenali sebagai Dr Sasa itu meminta Guterres menghubung­i Majlis Keselamata­n bagi membantu melindungi rakyat Myanmar daripada pencabulan hak asasi manusia yang berterusan.

Utusan itu turut mendesak supaya ‘sekatan tegas dan bersasar dikenakan - bukan hanya ke atas pemimpin tentera, tetapi juga aset serta perusahaan tentera.’

Selain itu, surat bertarikh 4 Mac berkenaan mendesak pelaksanaa­n embargo senjata api yang sepenuhnya ke atas tentera bagi memastikan peralatan terbabit tidak terus dibekalkan ke kawasan sedang berdepan tindakan keras pasukan keselamata­n.

Dujarric berkata, pegawai PBB termasuk perwakilan khas untuk Myanmar, Christine Schraner Burgener, sedang berhubung dengan Ahli Parlimen yang dipilih, sebagai sebahagian usaha kontak berterusan dengan pihak pemegang taruh utama. AFP

Pasukan keselamata­n Myanmar

 ?? (Foto AFP) ?? penunjuk perasaan antijunta. mengambil tindakan keras terhadap
(Foto AFP) penunjuk perasaan antijunta. mengambil tindakan keras terhadap

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia