Berita Harian

Polis Marin rampas rokok bernilai RM52 juta diseludup guna kapal kargo

Rekod terbesar negara, sindiket buat pemindahan di perairan antarabang­sa

- Oleh Togi Marzuki bhnews@bh.com.my

Pontian: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 merampas rokok seludup bernilai RM52 juta selepas menahan sebuah kapal kargo di perairan Pantai Barat berhampira­n Pulau Kukup, di sini, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Keselamata­n Dalam Negeri dan Ketenteram­an Awam (JKDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, berkata ia rampasan rokok terbesar dalam sejarah negara.

Katanya, modus operandi kapal kargo ini ialah melakukan pemindahan dari kapal ke kapal melalui perairan antarabang­sa bagi mengelak ditahan.

“Sindiket yang dipercayai sudah lama beroperasi, bergerak di garisan perairan antarabang­sa bagi mengelak ditahan. Sekiranya mendapati tiada pengawasan pihak berkuasa, barulah mereka memasuki perairan negara.

“Sepanjang perjalanan dari Batam ke Perak, mereka akan mencampakk­an kotak rokok yang diletakkan dalam plastik ke dalam laut secara rambang sebelum ia dikutip oleh kapal kecil tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, semalam. Yang turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menjelas lanjut, Abd Rahim berkata, dalam pemeriksaa­n pada jam 8.15 malam itu, pihaknya merampas 70 juta batang rokok pelbagai jenis.

Katanya, 11 kru kapal warga asing berusia 22 hingga 60 tahun, membabitka­n 10 warga Myanmar dan seorang warga Singapura termasuk kapten kapal turut ditahan.

Beliau berkata, polis mengesan kapal kargo berdaftar di Mongolia itu berulang-alik dari perairan Batam ke Perak sebanyak dua kali sejak Februari lalu.

“Kapal ini ditahan berdasarka­n maklumat dan risikan. Sepasukan Unit Risikan Marin PPM Wilayah 2 membuat pemantauan terhadap pergerakan sebuah kapal kargo MV Chita 2.

“Kapal itu dari Myanmar dalam perjalanan ke Batam, Indonesia disyaki membawa muatan rokok seludup untuk dibawa masuk ke kawasan pantai barat negeri ini.

“Bot ronda PPM cuba memintas kapal berkenaan, namun tidak mendapat kerjasama daripada kapten kapal yang enggan memberhent­ikan kapal.

“Kapal kargo berkenaan berjaya ditahan sebelum berhenti di kedudukan kira-kira 2.9 batu nautika barat daya Pulau Kukup dengan bantuan dua bot ronda PPM.

“Hasil pemeriksaa­n ke atas kapal kargo itu menemui 7,000 kotak mengandung­i 70 juta batang rokok tidak bercukai yang disembunyi­kan di dalam petak kapal kargo berkenaan.

“Proses dokumentas­i dan pengiraan mendapati nilai semua rokok berkenaan adalah RM52 juta, manakala nilai kapal adalah RM18 juta, sekali gus keseluruha­n rampasan bernilai hampir RM70 juta,” katanya.

Beliau berkata, semua kru kapal kargo berkenaan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

 ??  ??
 ?? (Foto BERNAMA) ?? Abd Rahim (dua dari kiri) dan Ayob Khan (kiri) menunjukka­n gambar kapal kargo yang ditahan bersama rokok seludup Pontian, semalam.
(Foto BERNAMA) Abd Rahim (dua dari kiri) dan Ayob Khan (kiri) menunjukka­n gambar kapal kargo yang ditahan bersama rokok seludup Pontian, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia