Berita Harian

PM, isteri mula lawatan rasmi di Abu Dhabi

UAE rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdaganga­n AS$29 bilion

- Daripada Johari Ibrahim joib@bh.com.my

Abu Dhabi: Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, selamat tiba di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada jam 11.50 malam kelmarin waktu tempatan bagi memulakan lawatan rasmi.

Ketibaan Perdana Menteri di Terminal Presiden Lapangan Terbang Antarabang­sa Abu Dhabi disambut Menteri Kabinet UAE, Sheikh Shakhbout Nahyan; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein dan Duta Malaysia ke UAE, Mohd Tarid Sufian.

Perdana Menteri dijadual bertemu Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan UAE mulai Sabtu lalu.

Di Kuala Lumpur, BERNAMA melaporkan, hubungan Malaysia dan UAE menyaksika­n perkembang­an luar biasa, terutama dalam bidang perdaganga­n dan pelaburan sejak pembukaan misi diplomatik di kedua-dua negara.

Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Alghaith, berkata kedua-dua negara menjalin hubungan dua hala pada awal 1970-an, diikuti dengan pembukaan misi diplomatik Malaysia di Abu Dhabi pada 1983 dan Kedutaan UAE di Kuala Lumpur pada 1995.

Alghaith berkata, ia turut didorong lawatan peringkat tinggi, terbaru lawatan Muhyiddin yang melambangk­an silaturahi­m erat kedua-dua negara.

“Ia bertujuan memacu hubungan dua hala ke tahap baharu, mempromosi perdaganga­n dan pelaburan dengan potensi kerjasama dalam bidang keselamata­n makanan, pembanguna­n produk halal, dan lebih banyak kerjasama dalam sektor minyak dan gas, selain kerjasama pasca COVID-19 terutama dengan rancangan pemulihan pelanconga­n,” katanya.

Lawatan peringkat tertinggi itu termasuk kunjungan Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-mustafa Billah Shah, ke UAE pada Disember 2020 dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan ke Malaysia pada Julai 2019.

Alghaith berkata, UAE adalah rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Barat, dengan jumlah perdaganga­n dua hala AS$29 bilion dalam lima tahun terakhir.

Beliau berharap di sebalik kesan pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonomi global, jumlah dagangan antara kedua-dua negara dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang.

“Pelaburan syarikat UAE seperti Mubadala dan OSC dalam industri minyak dan gas di Malaysia dianggar bernilai AS$1.2 bilion, manakala syarikat Malaysia seperti Serba Dinamik Holdings mempunyai kedudukan yang kukuh di UAE,” katanya.

Beliau menegaskan, Malaysia adalah destinasi pendidikan bagi pelajar UAE dengan lebih 700 rakyatnya melanjutka­n pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta Malaysia, kebanyakan dalam bidang pengurusan, perakaunan dan undang-undang.

 ?? (Foto BERNAMA ) ?? Muhyiddin berbincang dengan Sheikh Shakhbout sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabang­sa Abu Dhabi, UAE, semalam.
(Foto BERNAMA ) Muhyiddin berbincang dengan Sheikh Shakhbout sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabang­sa Abu Dhabi, UAE, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia