Berita Harian

Pemberian suntikan 29,560 dos sehari

-

Kuala Lumpur: Kadar pemberian vaksin harian di negara ini meningkat kepada 29,560 dos sehari setakat kelmarin, 14 hari selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarka­n pada 24 Februari lalu.

Menurut data Jawatankua­sa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sejumlah 195,923 dos pertama vaksin Pfizer-biontech sudah diberikan kepada petugas barisan hadapan setakat kelmarin, berbanding 166,363 Isnin lalu.

Berdasarka­n kapasiti pemberian vaksin harian semasa, sasaran menyuntik 500,000 petugas barisan hadapan dalam fasa satu PICK mampu dicapai dalam tempoh 17 hari lagi atau lebih awal jika kadar itu ditingkatk­an selaras sasaran kerajaan.

Data yang dikongsika­n Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini turut menunjukka­n Sarawak kekal sebagai negeri paling banyak menyuntik vaksin itu dengan 27,500 dos setakat kelmarin.

Sarawak adalah satu-satunya negeri yang sudah memberikan lebih 20,000 dos vaksin disusuli Selangor (19,251), Kuala Lumpur (16,887), Pahang (16,342), Sabah (16,245), Perak (15,881), Johor (15,843) dan Kelantan (14,185).

Kedah pula sudah mengagihka­n 11,638 dos disusuli Terengganu (11,261), Negeri Sembilan (8,385), Pulau Pinang (7,781), Melaka (5,365), Perlis (4,158), Putrajaya (2,941) dan Labuan (2,260).

Program bermula pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia diberi suntikan vaksin COVID-19.

Ketika ini, Malaysia memberikan vaksin keluaran Pfizer-biontech, iaitu vaksin pertama yang tiba di negara ini pada 21 Februari lalu, sebelum vaksin keluaran Sinovac dari China tiba pada 27 Februari.

Sebelum ini, Kumpulan Pharmaniag­a Bhd, Datuk Zulkarnain Md Eusope dilaporkan berkata, vaksin Sinovac dijangka mula diedarkan bulan depan.

Selepas Fasa Satu, program yang dijadualka­n sehingga bulan depan selesai, Fasa Dua akan bermula antara April hingga Ogos depan, untuk memberi vaksin kepada kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia