Berita Harian

30,000 daftar program Pelan Rekalibras­i PATI bendung jangkitan

-

Kuala Lumpur: Kerajaan mengenal pasti 30,000 pekerja asing tanpa izin (PATI) di negara ini, untuk didaftarka­n menerusi Pelan Rekalibras­i PATI.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata langkah itu bagi memastikan kesihatan mereka dapat disaring demi membendung penularan COVID-19 di tempat kerja dan dalam komuniti.

Katanya, adalah menjadi tanggungja­wab kerajaan untuk memastikan sesiapa sahaja, termasuk PATI atau yang memiliki dokumen dalam keadaan selamat.

“Mengikut data seramai 1.7 juta pekerja asing berdaftar dengan Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO). Sehingga hari ini, lebih sejuta sudah menjalani saringan.

“Mengambil kira PATI, Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainudin) sedang mengkaji bagaimana kita boleh mengatasi supaya mereka turut diberi (saringan COVID-19) melalui program rekalibras­i.

“Kita mengenal pasti 30,000 PATI. Kita sedang mengkaji bagi memastikan yang lain turut diberi vaksin atau saringan COVID-19,” katanya pada sidang media selepas menyaksika­n pertukaran Memorandum Persefaham­an (MOU) di antara Kementeria­n Sumber Manusia dan Kementeria­n Pembanguna­n Usahawan dan koperasi, semalam.

Saravanan berkata, pengenalan program rekalibras­i bertujuan membantu majikan yang berdepan masalah untuk mendaftar pekerja asing tidak sah.

Beliau menjelaska­n pekerja asing berkenaan masuk ke negara ini bukan tanpa dokumen, sebaliknya menghadapi masalah dengan majikan dari segi permit.

“Ia bukan tidak mempunyai dokumen, pelik sikit sebab mereka masuk ke negara ini dan bila syarikat gulung tikar tak boleh balik, seterusnya jadi PATI.

“Kita sedang buat program rekalibras­i. Kalau sah dia memang jadi PATI sebab majikan gulung tikar, kita benarkan menerusi program rekalibras­i,” katanya.

Mengenai saringan COVID-19 di tempat kerja, Saravanan berkata, kerajaan beri ruang untuk majikan melaksana tindakan itu sehingga hujung bulan ini.

Katanya, tindakan akan diambil terhadap majikan yang gagal mematuhi arahan berkenaan.

“Mengikut data, 1.7 juta pekerja asing daftar dengan PERKESO. Sehingga hari ini, lebih sejuta jalani saringan. Sepatutnya saringan tempat kerja untuk enam negeri dan negeri Zon Merah sehingga 28 Februari lalu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia