Berita Harian

Syarikat didenda gagal sedia asrama pekerja

-

Alor Setar: Sebuah syarikat pemprosesa­n makanan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua pertuduhan gagal menyediaka­n asrama atau penginapan pekerja yang diperakui Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pada Januari lalu.

Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid menjatuhka­n hukuman itu selepas Syarikat Twenty-twenty Food Industry Sdn Bhd yang diwakili pengurus besarnya mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa menempatka­n seorang pekerja warga Indonesia bernama Nenni Juniarti

Tanjung di asrama yang tidak diperakuka­n dengan perakuan penginapan mengikut Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Bagi pertuduhan kedua, syarikat sama didakwa gagal menyediaka­n kemudahan bilik air dan tandas mengikut nisbah satu bilik air dan tandas bagi 15 pekerja (1:15) kepada 146 pekerja mengikut Subperatur­an 3(1) Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu di asrama kilang yang terletak di Jalan Kedundung, Pokok Sena, pada jam 10.30 pagi, 13 Januari lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan, syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000.

Pendakwaan dikendalik­an Pegawai Pendakwa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah, Norulaskin Mustafa, manakala syarikat itu tidak diwakili peguam.

Pengurus besar yang mewakili syarikat terbabit dalam rayuannya memohon mahkamah untuk tidak menjatuhka­n hukuman denda berikutan wang terbabit boleh diguna syarikat bagi menaik taraf kemudahan asrama dan tandas.

Bagaimanap­un, Norulaskin memohon hakim menjatuhka­n hukuman setimpal berikutan syarikat itu melakukan kesalahan ketika negara berdepan ancaman penyakit berjangkit dan sebagai pengajaran kepada majikan lain.

Sharifah Norazlita kemudian menjatuhka­n hukuman denda RM10,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar bagi setiap pertuduhan ke atas syarikat terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia