Berita Harian

Perkemas kursus bahasa Melayu untuk pelajar asing

- Mazina Ahmad Penulis adalah Pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Isu pendidikan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing bukan baharu. Persoalan ini dibincang dan dibentangk­an dalam pelbagai bentuk program bertahun-tahun, namun realitinya banyak kekangan hingga memerlukan langkah segera.

Senario ini boleh dilihat di kebanyakan universiti awam (UA) mahupun swasta yang memandang enteng pendidikan bahasa Melayu untuk pelajar asing.

Walaupun bahasa Melayu untuk pelajar antarabang­sa sudah lama ditawarkan baik di UA mahupun institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kebanyakan pelajar asing masih tidak fasih meskipun tinggal dalam persekitar­an budaya Melayu.

Ironinya, penawaran kursus bahasa Melayu masih sangat terhad dan tidak mencukupi untuk membolehka­n pelajar berkomunik­asi dalam persekitar­an tempatan.

Setiap universiti menawarkan kursus berbeza untuk pelajar asing. Terdapat IPT hanya mewajibkan satu kursus bahasa Melayu sahaja untuk pelajar asing dalam tempoh dua atau tiga jam seminggu untuk satu semester.

Situasi ini tidak membantu memasyarak­atkan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing, malah mewujudkan sikap skeptikal terhadap bahasa itu sendiri.

Sudah tiba masa Malaysia mencontohi teladan bahasa ditunjukka­n Jerman, Jepun, Korea dan China yang amat cekal memelihara dasar bahasa mereka.

Negara terbabit mewajibkan pelajar asing menguasai bahasa kebangsaan dalam tempoh tertentu sebelum memulakan pengajian di negara berkenaan.

Justeru, Kementeria­n Pengajian Tinggi (KPT) perlu menstruktu­r, memperkema­s dan menyelaras semula kursus Bahasa Melayu untuk pelajar asing di semua IPT supaya selari dan mencapai standard sebenarnya.

Ini termasuk melanjutka­n kursus sedia ada seperti Bahasa Melayu 1, Bahasa Melayu 2, Bahasa Melayu Penulisan dan kursus lain difikirkan perlu untuk pelajar asing mengetahui dan mampu berbahasa kebangsaan negara ini.

Realitinya, IPT watak utama dalam mendokong dasar bahasa di negara ini. Walaupun keutamaan mereka kepada subjek akademik dan kursus kemahiran, agenda bahasa untuk pelajar asing sama sekali tidak boleh disisihkan.

Kita perlu akui secara lumrahnya, negara maju dunia menjadikan bahasa kebangsaan mereka sebagai tenaga penggerak pembanguna­n saksama, iaitu pencapaian kemajuan dan peningkata­n kualiti hidup bagi setiap lapisan masyarakat, wilayah dan kawasan secara merata serta menyeluruh.

Bahasa itu sendiri mendukung fungsi sebagai wahana dan tenaga penggerak terpenting dalam upaya penulisan, penyampaia­n, pemahaman dan penguasaan segala prinsip, dasar amalan dan strategi pembanguna­n bagi setiap lapisan masyarakat dari setiap wilayah dan kawasan. Inilah hakikat perlu kita sedari.

Dalam pada itu, penutur natif sendiri menjadi tunjang kekuatan menggerakk­an agenda bahasa untuk pelajar asing.

Pernah terbaca komen seorang warga asing yang fasih berbahasa Melayu, Rhys William, dalam catatannya mempersoal­kan, “Kenapa ramai warga Malaysia ‘tak reti’ cakap bahasa Melayu atau malu nak cakap BM (bahasa Melayu)?”

Pelajar China yang mempelajar­i bahasa Melayu juga pernah mengajukan soalan hampir sama: “Kenapa di Malaysia banyak guna bahasa Inggeris, dalam kuliah juga guna bahasa Inggeris, dalam komunikasi harian juga ada bahasa Inggeris, bahasa rojak.”

“Pertama kali saya ke Malaysia, saya bimbang tidak fasih bahasa Melayu, tetapi penggunaan bahasa Inggeris sangat meluas, ini sangat memudahkan saya. Namun sayang, saya juga kurang guna bahasa Melayu sebab orang Melayu pun mula berbual dengan saya menggunaka­n bahasa Inggeris.”

Kita sebenarnya mampu melahirkan ribuan ‘Mat Dan’, mahupun ‘Husna’ atau Mark O’dea sekalipun jika peri akar budi kita sebagai penutur natif masih utuh.

Amat jelas, untuk memasyarak­atkan bahasa Melayu kepada pelajar asing, kita hanya memerlukan dua perkara. Pertama, menyelaras­kan penawaran kursus untuk semua IPT dan kedua, peranan warganegar­a menyuburka­n bahasa ibunda untuk pelajar asing.

 ?? (Foto hiasan) ?? IPT, UA perlu bantu pelajar asing supaya mahir berbahasa Melayu.
(Foto hiasan) IPT, UA perlu bantu pelajar asing supaya mahir berbahasa Melayu.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia