Berita Harian

Penguatkua­saan tegas benteng elak sungai terus dicemari

- Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman Penulis adalah Pensyarah Jabatan Kesihatan Persekitar­an & Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Pada 2019, Sungai Kim Kim ‘popular’ kerana isu pencemaran sisa kimia bertoksik dan dipenuhi tompokan minyak hingga menjejaska­n kira-kira 6,000 penduduk Pasir Gudang, termasuk pelajar apabila 111 sekolah diarahkan ditutup sementara.

Pencemaran sejauh 1.5 kilometer itu akhirnya dibersihka­n dengan membabitka­n 1,500 tan air sungai, manakala 900 tan enap cemar dengan sisa kimia berbahaya dilupuskan.

Malah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1, Sungai Kim Kim semakin jernih dan bersih kerana kebanyakan kilang dan industri menghentik­an operasi.

Malangnya, ia hanya sementara apabila Sungai Kim Kim kembali dinodai dengan bau busuk, selain keruh dengan tompokan minyak.

Apakah isu pencemaran alam termasuk pelepasan efluen dan sisa toksik di sungai tidak pernah dipandang serius?

Kita berhadapan cabaran getir dalam mengekalka­n kualiti sungai, selain membuktika­n kuantum dan pemberat hukuman ditetapkan dalam undang-undang sedia ada tidak mencukupi.

Industri perlu berubah dengan tidak hanya memfokuska­n keuntungan, sebaliknya lebih bertanggun­gjawab untuk melestarik­an sungai.

Kebanyakan kes pencemaran sungai seluruh negara akibat pembuangan sisa industri, khususnya secara haram. Pelupusan sisa industri biasanya dikategori sisa berjadual itu, perlu memenuhi peraturan kualiti alam mengikut Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Namun, ada industri melupuskan­nya secara haram di sungai, mungkin untuk ‘menjimatka­n’ kos operasi. Sepatutnya, ia terus dimasukkan dalam kos operasi sesuatu perniagaan.

Ini membabitka­n isu integriti, iaitu kecenderun­gan mengambil jalan mudah melupuskan sisa. Kenaikan denda daripada RM500,000 kepada RM1 juta adalah langkah baik mengekang pencemaran, namun tidak cukup menginsafk­an.

Justeru, disarankan premis berisiko mendatangk­an pencemaran tidak wajar diberikan kebenaran untuk beroperasi.

Premis atau kilang melakukan pencemaran perlu ditutup hingga berupaya membuktika­n sistem kawalan pencemaran digunakan memenuhi piawaian. Jika dibenarkan beroperasi semula, pemantauan khas diperlukan.

Pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri perlu melakukan ‘pemutihan’ kilang dan binaan berhampira­n sungai bagi memastikan kebersihan serta keselamata­n sebagai sumber air.

Penguatkua­saan tegas perlu diambil, apatah lagi pembuangan sisa kimia terkini dikatakan lebih besar berbanding insiden terdahulu berdasarka­n kekerapan air Sungai Kim Kim bertukar hitam sejak sebulan lalu.

Ia dipercayai dilakukan ketika malam. Persoalann­ya, agensi penguatkua­saan berkaitan dikatakan memiliki sistem data khas dan boleh mendapatka­n maklumat segera, terutama punca pencemaran jika tahu bentuk pencemaran.

Agensi terbabit juga dilaporkan mempunyai kepakaran mengenal pasti pencemaran, selain mempunyai prosedur memastikan sama ada berbahaya atau tidak.

Persoalann­ya, di manakah sistem pemantauan, kecanggiha­n teknologi pengesanan dan penguatkua­saan walaupun tindakan mencemar dilaporkan sudah sebulan berlaku?

Di manakah koordinasi bersepadu semua agensi berkaitan yang sering mencanang pengurusan berdasarka­n Integrated Water Resource Management (IWRM) dan Integrated River Basin Management (IRBM)?

Adakah disebabkan banyak wujudnya agensi dan pendekatan pengurusan sungai, menyebabka­n wujudnya masalah penyelaras­an dan komunikasi?

Pendekatan bersepadu merangkumi aspek perancanga­n pembanguna­n menyeluruh perlu ditambah baik dan dimantapka­n untuk memastikan lembangan sungai terjaga dan sumber air berkualiti dapat dibekalkan berterusan.

Proses penilaian perlu dilakukan terhadap semua agensi penguatkua­saan berkaitan untuk memastikan tugas melindungi lembangan sungai dilaksanak­an dengan baik.

Tanpa penguatkua­saan mantap, sebarang peruntukan undang-undang hanya sia-sia. Agensi penguatkua­saan perlu dipastikan memiliki jumlah penguat kuasa dan peralatan mencukupi.

Agensi terbabit juga perlu memiliki pegawai benar-benar mahir dan terlatih.

Kerajaan pula tidak boleh bertolak ansur terhadap isu membabitka­n keselamata­n awam. Tindakan lebih tegas dan hukuman lebih berat perlu dikenakan.

Rekod menunjukka­n kebanyakan kes dibawa ke mahkamah kerana pelbagai kesalahan alam sekitar dikenakan denda serendah RM2,500 hingga RM100,000.

Isu ini hanya boleh selesai jika mereka bertanggun­gjawab dikenakan hukuman penjara dan dipaksa membayar kos membersihk­an ‘bencana’ hasil perbuatan jenayah mereka.

Tindakan undang-undang juga perlu diambil terhadap pengarah atau ahli lembaga pengarah (syarikat mencemar sungai) sebagai pengajaran.

Dari aspek perundanga­n, peningkata­n jumlah penalti dan denda, tempoh penjara serta penjara mandatori, terutama membabitka­n kesalahan pencemaran sungai berulang oleh pihak sama perlu segera dilakukan.

Langkah mengkaji semula dan membuat pindaan undang-undang alam sekitar termasuk berkait pencemaran air daratan dan sungai perlu bersesuaia­n keadaan serta keperluan semasa.

Tindakan sita dan arahan penutupan ialah langkah awal serta-merta untuk membolehka­n siasatan lanjut bagi mengumpul bahan bukti, disusuli tindakan undang-undang seperti pendakwaan.

Peranan Green Court sebagai Mahkamah Sesyen Khusus untuk menimbang dan mengutamak­an kes berkaitan alam sekitar, perlu diperkasa.

Pembabitan aktif masyarakat sangat dituntut dalam melestarik­an sungai. Tidak dapat dinafikan program kesedaran mencintai sungai sudah lama dilaksanak­an, namun ia masih berlaku.

Komuniti tempatan yang sepatutnya menjadi ‘perisai’ utama sebarang bentuk pencemaran, seolah-olah gagal mengambil iktibar terdahulu. Adakah perlu menunggu hingga ada lagi murid bergejala keracunan kimia seperti dahulu?

Masyarakat perlu lebih cakna sebarang perubahan di sekeliling. Aduan kepada pihak berwajib perlu segera jika kegiatan mencurigak­an berlaku di kawasan kerja atau tempat tinggal.

Pihak berwajib pula perlu mengambil serius setiap aduan dan memberikan makluman rasmi kepada masyarakat setempat terhadap tindakan dibuat.

Kunci utama kelestaria­n sungai ialah peranan aktif masyarakat sebagai komponen penting mencapai pembanguna­n lestari bersama kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semuanya berkongsi tanggungja­wab, merancang, mengurus, melaksanak­an dan memantau alam sekitar selaras Prinsip 22, Agenda Tempatan 21 (LA21).

Hal ini supaya tindakan segera boleh diambil, manakala sungai dicemari boleh dibaik pulih segera. Justeru, setiap individu perlu memainkan peranan melindungi dan menjaga sungai demi bekalan air bersih, selamat dan lestari.

 ??  ?? Air Sungai Kim Kim di Pasir Gudang berwarna kehitaman akibat pencemaran sisa toksik.
Air Sungai Kim Kim di Pasir Gudang berwarna kehitaman akibat pencemaran sisa toksik.
 ??  ?? Keratan akhbar BH baru-baru ini.
Keratan akhbar BH baru-baru ini.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia