Berita Harian

Pemerkasaa­n belia bermula di universiti

- Hafiz Baba, Naib Presiden 2, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

Pembabitan belia dalam urusan penting negara seperti penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun layak digelar proses ‘peremajaan’ negara.

Menurut Kementeria­n Pendidikan (KPM), jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak 2017 hingga 2019 sahaja hampir 1.3 juta pelajar.

Peningkata­n jumlah pengundi termuda seharusnya dipandang serius semua pihak, terutama kerajaan dan parti politik melalui kempen serta program khusus bagi mendekati segmen berkenaan yang boleh dikatakan kurang berminat dengan politik Malaysia.

Usaha berterusan dan besar-besaran perlu dilakukan untuk memastikan pembabitan pengundi muda dalam ‘pesta politik’ yang diramal tidak lama lagi dapat dimaksimum­kan.

Ia untuk memastikan usaha Undi 18 dapat dicapai dan membawa lipatan sejarah baharu buat Malaysia. Mengetenga­hkan wakil muda, terutama ikon dan selebriti sebagai duta politik serta pemerkasaa­n belia dalam hal ehwal pendidikan politik dapat mengubah pandangan belia terhadap landskap politik negara.

Calon dan ikon politik anak muda mestilah diketengah­kan terlebih dahulu agar mereka tidak terikat kepada pilihan pemimpin, terutama warga emas yang tidak mampu hadir melaksanak­an tanggungja­wab hakiki di Parlimen.

Sudah tiba masa golongan muda diberi peluang memimpin, walaupun tidak secara keseluruha­n. Tiada lagi istilah jaguh politik yang hanya dilihat unggul dalam parti sendiri, namun tidak dikenali masyarakat, terutama kumpulan atas pagar yang boleh memberi impak kepada parti politik dalam pilihan raya.

Belia mesti diperkasa bagi memastikan peralihan ini membawa manfaat bukan sahaja kepada parti politik, bahkan anak muda sendiri.

Perlu diakui, kekurangan anak muda dalam penggubala­n dasar negara menyebabka­n generasi itu khususnya mahasiswa tenggelam dalam agihan kebajikan diperuntuk­kan kerajaan.

Agenda pemerkasaa­n belia perlu diteliti. Ia tidak dapat dicapai setahun dua, sebaliknya memerlukan perancanga­n teliti dengan hala tuju jelas dan meyakinkan generasi lama sebelum melepaskan tanggungja­wab kepemimpin­an kepada generasi berikutnya.

Proses ini perlu bermula seawal mahasiswa lagi, iaitu fasa terpenting dalam pembentuka­n disiplin dan tanggungja­wab belia. Ketika fasa inilah, mereka dilatih untuk membentuk semangat kepemimpin­an utuh dalam memastikan suara mahasiswa bukan sahaja didengari pentadbira­n universiti, bahkan kerajaan, termasuk Kementeria­n Pengajian Tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia