Berita Harian

Cabar ahli aib pemimpin tanding pemilihan UMNO

Tengku Adnan dapati kritikan dalam kalangan ahli parti semakin lantang di media sosial

- Oleh Rohaniza Idris roha@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ahli dan pemimpin UMNO yang sering memburuk serta mengaibkan pemimpin parti dicabar supaya bertanding dalam pemilihan UMNO yang akan datang.

Cabaran itu dilontarka­n Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, selepas mendapati ramai ahli dan pemimpin yang berterusan memburukka­n parti dan mengaibkan pemimpin parti sejak kebelakang­an ini.

“Tak perlulah nak burukkan parti atau mengaibkan imej pemimpin yang ada, sebaliknya jika ‘dah ukur baju di badan’ bila tiba masanya nanti, letak nama dan bertanding dalam pemilihan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada gelagat ahli pemimpin UMNO yang semakin lantang mengkritik pemimpin parti menerusi media sosial sejak kebelakang­an ini.

Kritikan terhadap parti dan pemimpin dilihat meningkat sejak UMNO membuat keputusan untuk tidak bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi membayangk­an wujud ‘broker’ dalam kalangan pemimpin UMNO yang berperanan menghancur dan menjatuhka­n parti itu.

Tengku Adnan turut mengingatk­an pihak yang ‘membuat bising’ ini supaya sedar pemimpin UMNO yang ada ketika ini dipilih secara sah melalui pemilihan parti.

“Sekarang ini, hormatilah institusi yang ada kerana mereka inilah yang mengemudi UMNO, malah sanggup berlawan dan menang dalam pemilihan UMNO.

“Jika tak mahu kenang jasa mereka pun janganlah pula nak memburukka­n organisasi dan institusi UMNO yang terbina.

“Ingat, bukan hanya ahli parti, tapi rakyat juga sedang menilai. UMNO perlu rukun dan teguh untuk kembali menjadi teraju negara kerana perjuangan­nya tetap relevan demi agama, bangsa dan kedaulatan tanah air, dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Beliau turut kesal dengan orang UMNO yang menyatakan parti itu tiada hala tuju sambil menyifatka­n mereka gagal menghayati perjuangan UMNO.

“Semua termaktub dalam perlembaga­an UMNO, tapi ada yang kata UMNO sekarang tak ada hala tuju, tak ada masa depan.

“UMNO pernah jadi tunjang kerajaan lebih 60 tahun, sudah belajar jadi pembangkan­g dan hari ini menjadi sebahagian kerajaan, tetapi asas tujuan UMNO masih kekal begitu dan tidak berubah.

“Sehingga kini, asas UMNO tak berubah. Sama ada UMNO sebagai kerajaan, pembangkan­g atau menyokong kerajaan, UMNO tetap menerima pelbagai kecaman,” katanya.

Sekarang ini, hormatilah institusi yang ada kerana mereka inilah yang mengemudi UMNO, malah sanggup berlawan dan menang dalam pemilihan UMNO.

Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari UMNO

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia