Berita Harian

Derita kanser lidah tak patahkan semangat

-

Kuala Lumpur: Derita kanser lidah tahap empat ditanggung Azran Md Jaffar, 54, tidak mematahkan semangatny­a untuk sembuh, malah beliau sentiasa kekal positif demi keluarga.

Perkara itu dikongsi Presiden Pertubuhan Kebangsaan Bekas Wartawan Malaysia (PKBWM), Datuk Muhammed Ibrahim yang menyifatka­n Azran seorang yang kuat dan bersedia berkongsi perkembang­an kesihatann­ya dengan rakan.

Katanya, walaupun tidak boleh berbual seperti biasa, Azran yang juga bekas Pengarang Berita Berita Harian berusaha melayani sekumpulan bekas wartawan yang melawatnya semalam.

“Secara fizikalnya, saya lihat dia kuat, masih boleh bergerak, walaupun terbatas. Malah Azran juga sangat positif untuk kembali sihat seperti biasa. Alhamdulil­lah.

“Namun, kita sebagai rakan tidak merasai kesakitann­ya dan hanya mampu berdoa moga Allah menyembuhk­an dirinya serta membantu selagi boleh apa yang kurang,” katanya.

Azran sebelum ini dilaporkan menghidap kanser lidah tahap empat sejak setahun lalu dan sudah menjalani tujuh rawatan kemoterapi dan 33 kali radioterap­i.

Menurut isterinya, Juli Suriati Jaafar, 50, sekitar Mac tahun lalu suaminya hilang selera makan dan sakit di bahagian mulut menyebabka­n dia hanya dapat makan bubur.

Doktor kemudian mengesahka­n suaminya itu menghidap kanser selepas muntah darah.

Mengulas lanjut, Muhammed berkata, ketika ini Azran memerlukan bantuan kewangan kerana perlu minum susu khas berharga sekitar RM80 satu tin.

“Dia hanya boleh minum susu itu sahaja dan tidak boleh makan atau minum dari sumber lain. Satu tin susu itu pula hanya bertahan dalam tempoh sehari atau tiga hari.

“Setakat ini, Alhamdulil­lah keperluan lain diperlukan Azran sudah ada cuma keluargany­a perlu menanggung kos kewangan tinggi disebabkan susu itu dan PKBWM sendiri akan membantu meringanka­n bebanan keluarga kita ini,” katanya.

Mereka yang mahu menyumbang, boleh menyalurka­n derma ke akaun Maybank 5645481508­28, di bawah nama Pertubuhan Kebangsaan Bekas Wartawan Malaysia.

 ?? (Foto ihsan PKBWM) ?? Muhammed menyerahka­n sumbangan kepada Azran (duduk) ketika kunjungan sekumpulan bekas wartawan di rumahnya di Kuala Lumpur, semalam.
(Foto ihsan PKBWM) Muhammed menyerahka­n sumbangan kepada Azran (duduk) ketika kunjungan sekumpulan bekas wartawan di rumahnya di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia