Berita Harian

Tiada dokumen buktikan 27 cek untuk yayasan

Saksi beritahu sumbangan boleh disalur terus, tak perlu melalui Lewis & Co

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu bahawa tiada dokumen yang membuktika­n 27 cek berjumlah RM26.05 juta yang diterima Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah sumbangan kepada yayasan itu.

Pegawai penyiasat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Amirudin Nordin, 38, berkata hasil siasatanny­a tidak menemukan sebarang dokumen sokongan atau surat yang menyatakan cek atas nama Lewis & Co adalah suatu sumbangan.

Saksi pendakwaan ke-96 itu berkata cek yang dikaitkan dengan sumbangan itu adalah 13 cek MYEG Sdn Bhd (RM7.8 juta), 10 cek Chia Bee Enterprise Sdn Bhd (RM10 juta), dua cek Sarana Kencana Sdn Bhd (RM6 juta), satu cek Mubarak Hussain Akhtar Hussain (RM2 juta) dan satu cek Jogabonito Jewellery & Diamonds (RM250,000).

“Persamaann­ya semua cek ialah dibayar kepada Lewis & Co,” katanya menjawab soalan tambahan ketika pemeriksaa­n utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong pada perbicaraa­n hari ke-50 kes bekas Timbalan Perdana Menteri yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitka­n jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Ketika pemeriksaa­n semula oleh Harris Ong, mengapa saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa wang itu adalah ‘sumbangan’, Mohd Amirudin berkata sumbangan boleh disalurkan terus kepada Yayasan Akalbudi dan tidak perlu melalui Lewis & Co.

Disoal Harris Ong mengenai cadangan pembelaan bahawa siasatan bagi kes pengubahan wang haram itu dilakukan dalam waktu yang singkat, saksi itu berkata ia tidak menjejaska­n siasatan dan siasatanny­a juga lengkap.

Mengenai Yayasan Al Bukhary, Mohd Amirudin berkata yayasan itu pernah memberi sumbangan RM5 juta kepada Yayasan Akalbudi dalam bentuk cek dan tiada bukti menunjukka­n sumbangan itu diberikan dalam bentuk wang tunai.

Sebelum ini, pengurup wang, Omar Ali Abdullah, saksi pendakwaan ke-81 dalam keterangan­nya berkata beliau ada menerima sumbangan berbentuk wang tunai daripada Yayasan Al Bukhary.

Selain itu, Mohd Amirudin berkata pelantikan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi dibuat melalui mulut (lisan), bukan secara surat lantikan.

Sementara itu, pegawai penyiasat SPRM Mohamad Khairi Ibrahim, 29, memberitah­u mahkamah bahawa beliau ada merakam percakapan bekas Setiausaha Yayasan Akalbudi, Idris Kechek berhubung siasatan ke atas yayasan itu.

Mohamad Khairi berkata beliau merakam percakapan Idris sebanyak dua kali pada 8 Jun 2018 dan 18 Julai 2018 di Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Saya merujuk kepada penyataan dalam pemeriksaa­n atas nama Idris Kechek muka surat lapan hingga 24 dan mengesahka­n bahawa ini adalah rakaman percakapan yang saya rakam,” kata saksi pendakwaan ke-97 itu ketika membacakan penyataan saksinya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia