Berita Harian

Bunuh, sorok mayat jiran bawah katil

Masalah wang dipercayai punca suspek hentak kepala mangsa ke lantai

- Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my

Subang Jaya: Seorang wanita tergamak membunuh jirannya sebelum mayatnya disorok di bawah katil dalam rumahnya di tingkat dua sebuah blok pangsapuri di Persiaran Subang Mewah, USJ 1 di sini.

Perkara itu terbongkar, petang kelmarin sebaik polis menjalanka­n siasatan berhubung kes seorang peniaga kuih warga Indonesia yang dilaporkan hilang oleh suaminya sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata suami mangsa, warga tempatan berusia 47 tahun pada mulanya pulang ke rumah kira-kira jam 7 malam dan mendapati pintu hadapan tidak berkunci.

“Dia mendapati isterinya berusia 54 tahun tiada, namun barang peribadi termasuk telefon bimbitnya masih ada di dalam rumah.

“Selepas gagal mencari isterinya, lelaki itu membuat laporan di Balai Polis USJ 8 jam 12.01 tengah malam (kelmarin),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, malam tadi.

Abd Khalid berkata, kali terakhir lelaki itu bertemu dan berhubung dengan isterinya kira-kira jam 1.20 tengah hari dan jam 3.45 petang Isnin lalu.

“Ketika diambil keterangan suami mangsa mengesyaki kehilangan isteri ada kaitan dengan jiran mereka yang rumahnya terletak hanya kira-kira 10 meter.

“Dia ada mendengar cerita mengatakan jirannya (suspek) menggadaik­an barang kemas tidak lama selepas isterinya hilang dan mengetahui wanita itu ada masalah kewangan dan hutang,” katanya.

Susulan itu, katanya, wanita berusia 39 tahun itu dipanggil ke Balai Polis USJ 8 jam 3 petang kelmarin untuk disoal siasat dan selepas hampir tiga jam, dia akhirnya mengaku membunuh mangsa di kediamanny­a.

“Kira-kira jam 8 malam kelmarin, suspek dibawa ke rumahnya oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dan menunjukka­n mayat mangsa yang ditutup dengan selimut disorok di bawah katil.

“Suspek dikatakan menelefon mangsa memintanya datang ke rumah dengan alasan tangannya cedera dan membantu menjaga dua anaknya berusia setahun dan tiga bulan, kira-kira jam 4 petang Isnin lalu.

“Suspek mendakwa dia menghentak belakang badan mangsa dengan tangan sehingga terjatuh sebelum menghentak kepala mangsa ke lantai,” katanya memaklumka­n suspek bekerja sebagai pembuat kuih di gerai mangsa.

Beliau berkata, motif pembunuhan dipercayai berpunca masalah kewangan dihadapi suspek dan terdesak membayar hutang berjumlah kira-kira RM5,000.

“Mangsa memakai banyak barangan kemas dan mungkin ia mendorong suspek membunuhny­a bagi mendapatka­n barang kemas itu, sebelum menggadain­ya untuk melangsaik­an hutang.

“Polis masih mengesan barang kemas terdiri rantai leher dan gelang yang dikatakan digadai suspek dan tidak dapat pastikan jumlahnya,” katanya.

Abd Khalid berkata, ketika kejadian suami suspek yang juga lelaki tempatan berusia 48 tahun dan bekerja sebagai kru produksi tiada di rumah, namun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Shah Alam pagi semalam untuk permohonan reman.

 ?? (Foto ihsan PDRM) ?? Anggota dan pasukan forensik polis menjalanka­n pemeriksaa­n di lokasi pembunuhan seorang wanita di pangsapuri Persiaran Subang Mewah, USJ 1, Subang Jaya.
(Foto ihsan PDRM) Anggota dan pasukan forensik polis menjalanka­n pemeriksaa­n di lokasi pembunuhan seorang wanita di pangsapuri Persiaran Subang Mewah, USJ 1, Subang Jaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia