Berita Harian

UAE bersetuju gandakan pelaburan di Malaysia

UAE nyatakan komitmen tinggi ganda pelaburan, perdaganga­n

-

Abu Dhabi: Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberikan komitmen tinggi untuk menggandak­an pelaburan dan perdaganga­n dua hala, selain menyatakan kesediaan untuk membantu Malaysia merealisas­ikan agenda pendigital­an pendidikan selaras dengan program Digital Malaysia (MYDIGITAL).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dua perkara itu antara berita baik hasil perbincang­annya dengan Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, di sini, kelmarin.

Muhyiddin berkata, pada pertemuan berkenaan, pemimpin UAE itu memberi petunjuk ke arah kerjasama tanpa batas (the sky is the limit) dalam perkara yang dibincangk­an membabitka­n hubungan dua hala kedua-dua negara terutama pelaburan, perdaganga­n dan pendidikan.

Perdana Menteri berkata, UAE juga menyatakan komitmen tinggi untuk meningkatk­an nilai dagangan dua hala sehingga lima kali ganda berbanding AS$3 bilion pada masa ini.

“Jadi saya hendak faham apa maksud the sky is the limit dan apabila berbincang lanjut dan tunjukkan data jumlahnya, dalam perbincang­an itu sebelum habis meminta supaya ia (perdaganga­n) dapat ditingkatk­an, baginda sebut ‘setuju lima kali ganda’.

“Apa sahaja nombor (nilai) yang kita ada hari ini, jika ikut laporan AS$3 bilion, ...ini akan ditingkatk­an lima kali ganda tanpa disebut tempoh masa,” katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada hari akhir lawatan rasmi ke UAE, semalam.

Dalam lawatan ke UAE, Muhyiddin juga mengadakan pertemuan dengan Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri serta Pemerintah Dubai di Istana Zabeel, Dubai, kelmarin.

Hadir sama dalam kunjungan itu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammudd­in Tun Hussein.

Mengulas lanjut pertemuan dengan Syeikh Mohamed Zayed, Muhyiddin berkata, pada perbincang­an itu, Malaysia juga mengharapk­an supaya jumlah pelaburan dari UAE dapat ditingkatk­an dengan Putera Mahkota Abu Dhabi itu memberi komitmen ia akan dilakukan sama seperti pelaburan mereka di negara lain seperti China, India dan Pakistan.

Menganggap layanan diberikan pemimpin UAE berkenaan sebagai luar biasa, Muhyiddin berkata, reaksi itu menunjukka­n Syeikh Mohamed Zayed dan UAE berminat secara mendalam untuk meningkatk­an pelaburan di Malaysia seperti dalam bidang keselamata­n makanan, elektrikal, elektronik, minyak serta gas.

Perdana Menteri berkata, secara spesifikny­a, bidang dikenal pasti adalah yang boleh menyediaka­n peluang pekerjaan kepada rakyat, khususnya ketika pandemik COVID-19 pada masa ini.

Muhyiddin berkata, pemimpin UAE itu juga memberi reaksi luar biasa untuk membantu sektor pendidikan di Malaysia, khususnya berkaitan dengan usaha pendigital­an pendidikan negara selain soal pengiktira­fan sijil dan kerjasama antara universiti di Malaysia dan UAE.

Syeikh Mohamed Zayed prihatin dengan maklumat berkaitan kesan pandemik COVID-19 terhadap pelajar di Malaysia apabila sekolah terpaksa ditutup dan masalah ibu bapa yang kurang kemampuan menyediaka­n peralatan pembelajar­an dan pengajaran di rumah (PDPR).

“Saya kemukakan cadangan bahawa kita sedang rancang melaksanak­an pendidikan digital selari dengan Pelan Digital Malaysia iaitu belajar secara dalam talian, tetapi hendak melaksanak­an program itu akan membabitka­n ramai, iaitu hampir enam juta pelajar perlu dibekal peralatan.

“Bagaimanap­un, belum habis saya memberikan penerangan, baginda memberi reaksi ‘done’ (beres), jadi apabila baginda menyatakan demikian, saya rasa cukup istimewa dan lega yang berkemungk­inan besar bahawa apa yang saya fikir dan rancang awal bersama Kementeria­n Pendidikan dan Kementeria­n Kewangan hampir jadi kenyataan apabila Putera Mahkota kata beliau sanggup bantu,” katanya.

Malaysia menghargai komitmen itu kerana kemungkina­n kos yang akan ditanggung kerajaan adalah antara RM3 hingga RM4 bilion.

Berikutan itu, katanya, pegawai pada peringkat kementeria­n akan diminta menyediaka­n butiran terperinci yang turut membabitka­n kandungan dan ekosistem ke arah pendigital­an pendidikan itu.

Pada masa sama, katanya, Sheikh Mohamed Zayed juga menyatakan minat untuk mempelajar­i pengalaman Malaysia dalam membantu usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menerima kesan COVID-19 menerusi pelbagai pakej rangsangan ekonomi.

“UAE tertarik dengan kaedah itu dan akan menghantar pegawai tinggi ke Malaysia untuk melihat bagaimana ia dilakukan dan bagaimana bantuan itu boleh selamatkan peniaga kecil,” katanya.

Pada lawatan rasmi berkenaan, Perdana Menteri turut bertemu dan mengadakan perbincang­an dengan Timbalan Presiden UAE yang juga Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum serta Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan.

Tiga memorandum persefaham­an (MOU) dimeterai sempena lawatan itu iaitu penubuhan Kerjasama Diplomasi Keselamata­n Makanan; mewujudkan Kursi Sheikh Zayed Al Nahyan di Institut Kajian Strategik dan Antarabang­sa (ISIS) dan Kerjasama Latihan Diplomat.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
(Foto BERNAMA) Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
 ?? (Foto BERNAMA) ?? Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Sheikh Mohammed Rashid di Istana Zabeel, Rabu lalu.
(Foto BERNAMA) Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Sheikh Mohammed Rashid di Istana Zabeel, Rabu lalu.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia