Berita Harian

Mahkamah Tinggi putuskan perisytiha­ran darurat oleh Yang di-pertuan Agong tidak boleh dicabar

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini semalam memutuskan keputusan Yang di-pertuan Agong di bawah Perkara 150(1) dan 150(2B) Perlembaga­an Persekutua­n berhubung pengisytih­aran darurat tidak boleh dicabar menerusi semakan kehakiman di mana-mana mahkamah.

Keputusan itu selepas Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid mendapati bahawa Perkara 150(8) Perlembaga­an Persekutua­n adalah sah dan berperlemb­agaan, antara lain menetapkan bahawa keputusan Yang di-pertuan Agong berhubung darurat adalah muktamad dan konklusif, tidak boleh dicabar atau dipersoalk­an di mana-mana mahkamah walau apa juga alasannya.

Mahkamah memutuskan demikian selepas menolak permohonan tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perisytiha­ran darurat dan penggantun­gan sidang Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Tiga wakil rakyat berkenaan adalah Ahli Parlimen Pulai, Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH); Ahli Parlimen Sungai Petani, Kedah, Johari Abdul (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Perak, Abdul Aziz Bari (DAP).

Mahkamah dalam penghakima­nnya, menjelaska­n Perkara 150(8) menutup pintu undang-undang daripada sebarang permohonan atau tindakan mencabar proklamasi serta ordinan di bawah undang-undang darurat dan Perlembaga­an Persekutua­n juga tidak menggarisk­an tanggungja­wab dari segi undang-undang kepada responden pertama untuk bertindak dalam cara dikehendak­i pemohon.

“Oleh itu, relif yang dimohon oleh pemohon adalah salah di sisi undang-undang,” katanya pada prosiding itu yang dihadiri Peguam Kanan Persekutua­n, Suzana Atan dan S Narkunavat­hy yang mewakili kerajaan, manakala pemohon diwakili peguam, Datuk Gurdial Singh Nijar dan Christophe­r Leong.

Pada 26 Januari lalu, ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman bagi mencabar nasihat yang diberikan oleh Muhyiddin kepada Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah.

Permohonan itu difailkan bagi membolehka­n Klausa 11, 14 dan 15 Ordinan Darurat yang dikatakan tidak berperlemb­agaan, disemak oleh mahkamah.

Ia juga bagi membolehka­n kuasa-kuasa oleh Perdana Menteri dan Kabinet serta Menteri Besar, Ketua Menteri dan EXCO yang dikatakan tidak dapat dipertangg­ungjawabka­n kepada Parlimen atau DUN, turut disemak.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-pertuan Agong memberi perkenan darurat dilaksanak­an sehingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes COVID-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia