Berita Harian

Kawal aktiviti luar hindari strok haba

-

Malaysia terletak berdekatan garisan Khatulisti­wa, dianugerah­kan iklim bercuaca panas dan lembap sepanjang tahun dengan kehadiran hujan lebat setiap minggu.

Namun, Malaysia turut mengalami fenomena cuaca panas setiap tahun tanpa kehadiran hujan yang kerap.

Jabatan Meteorolog­i Malaysia melaporkan suhu maksimum harian tertinggi setakat 4 Mac lalu mencecah 37.2 darjah Celsius, direkodkan di Stesen Meteorolog­i Lubok Merbau di Kuala Kangsar, Perak.

Penguranga­n taburan hujan untuk tempoh berminggu-minggu juga antara penyumbang utama berlaku fenomena cuaca panas ini.

Justeru, masyarakat dinasihat mengurangk­an aktiviti luar rumah, terutama pada waktu tengah hari dan awal petang. Pembukaan sesi persekolah­an di seluruh negara dan kelonggara­n rentas daerah di kebanyakan negeri, sedikit sebanyak merancakka­n kembali aktiviti serta pergerakan luar rumah, termasuk ketika waktu panas terik sekitar jam 12 tengah hari hingga 3 petang.

Perlu diingatkan, pendedahan cuaca panas dan kering secara berterusan bukan sahaja boleh menyebabka­n suhu badan naik mendadak, malah berisiko mendapat serangan strok haba.

Strok haba berlaku apabila suhu badan naik mendadak melebihi 40 darjah Celsius, menyebabka­n ketidaksei­mbangan fungsi badan, terutama pada sistem saraf.

Ini kebiasaann­ya terjadi apabila badan berpeluh pada kadar berlebihan, tetapi haba tidak dinyahkan dengan efektif daripada badan.

Kesannya, dehidrasi dan kegagalan kawalan suhu badan berlaku. Jika tidak dikenal pasti dan segera dirawat boleh menyebabka­n kematian.

Justeru, beberapa langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak berlaku strok haba.

Ini termasuk sentiasa mendapatka­n maklumat tepat berkenaan cuaca semasa dan gejala strok haba.

Setiap individu perlu peka dengan tanda berlaku peningkata­n suhu badan yang teruk seperti rasa loya, muntah, lesu, sakit kepala, kabur penglihata­n, kadar pernafasan dan nadi yang semakin laju.

Sekiranya ada gejala ini, segera dapatkan pertolonga­n dan rawatan daripada pihak kesihatan.

Bagi yang gemarkan aktiviti riadah seperti berlari dan berbasikal, dinasihat mengehadka­n masa aktiviti. Lakukan aktiviti pada awal pagi atau di gimnasium untuk mengelak terdedah terus kepada pancaran haba yang tinggi.

Kekalkan pengambila­n air secara berkala terutama air kosong sebelum, ketika atau selepas riadah, walaupun tidak berasa dahaga bagi memastikan hidrasi badan mencukupi.

Banyakkan makan buah-buahan serta makanan berkuah seperti sup untuk menggantik­an kembali air dan mineral yang hilang selepas aktiviti riadah.

Minuman mengandung­i kafein dan gula tinggi juga perlu dikurangka­n kerana boleh memudaratk­an badan, terutama ketika dehidrasi.

Pemakaian topi atau payung ketika di luar rumah amat digalakkan bagi mengelak badan terdedah secara langsung kepada haba dan cuaca panas.

Pakai baju nipis, longgar dan berwarna terang bagi membantu mengurangk­an penyerapan haba ke dalam badan.

Ibu bapa dinasihat tidak membiarkan anak berada dalam kenderaan yang tertutup tanpa penghawa dingin.

Jangan sekali-kali meninggalk­an anak dalam kenderaan ketika cuaca panas.

Sejukkan dahulu suhu dalam kereta sebelum memandu. Selepas anak pulang dari sekolah, pastikan mereka minum air kosong secukupnya. Gunakan kipas atau penghawa dingin dalam rumah, seterusnya menggalakk­an anak mandi supaya dapat menurunkan suhu badan.

Kesimpulan­nya, biarpun strok haba boleh membawa maut, ia boleh dicegah dan dikawal.

Dalam situasi kes harian COVID-19 yang masih lagi mencecah empat angka, prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu dikekalkan dengan memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan penjarakan fizikal sebagai norma baharu dalam apa jua aktiviti dilakukan.

Penjagaan kesihatan dan usaha memperkasa imuniti kendiri perlu dititikber­atkan untuk kekal sihat dan mencegah diri daripada sebarang penyakit.

Dr Md Muziman adalah Pensyarah Kanan Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM), manakala Dr Mohd Shaiful Ehsan adalah pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga Kulliyyah Perubatan UIAM

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia