Berita Harian

Memperkasa jalur lebar tuntut komitmen pemain industri

- Penulis adalah Penyelidik di Institut Penyelidik­an Khazanah (KRI)

Pelancaran MYDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia baru-baru ini dilihat sebagai usaha serius kerajaan memperkasa­kan ekonomi digital negara yang inklusif.

Penularan COVID-19 juga mengubah corak kehidupan ke arah penggunaan internet untuk pendidikan, bekerja dari rumah dan perniagaan.

Tanpa kualiti perkhidmat­an jalur lebar, terutama mudah alih yang baik, pasti akan ada penduduk Malaysia yang tidak dapat menggarap peluang daripada pembanguna­n internet sepenuhnya.

Di samping sasaran dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), rangka tindakan ekonomi digital itu juga menyenarai­kan inisiatif terhadap penyediaan infrastruk­tur jalur lebar.

Ini termasukla­h strategi memudahkan proses kebenaran bagi penyediaan infrastruk­tur, penyediaan platform untuk memantau keperluan jalur lebar dan langkah menjadikan jalur lebar sebagai utiliti asas.

Semua strategi itu sangat bernas, tetapi boleh diperkukuh­kan lagi melalui pemerkasaa­n piawaian kualiti perkhidmat­an sedia ada.

Ini boleh memangkin komitmen pemain industri untuk menyediaka­n perkhidmat­an lebih baik kepada pengguna.

Piawaian relevan juga dapat melihat keperluan dan jurang semasa bagi memantapka­n lagi usaha penyediaan infrastruk­tur yang andal.

Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan, pada 2019, semua syarikat perkhidmat­an jalur lebar mudah alih di Malaysia memenuhi piawaian atau standard mandatori kualiti perkhidmat­an ditetapkan.

Syarikat perlu mempunyai 80 peratus kelajuan muat turun minimum 1 Megabait sesaat (Mbps), 70 peratus masa respon paket data yang tidak melebihi 250 milisaat, serta kehilangan paket data yang tidak melebihi 3 peratus.

SKMM juga melaporkan liputan rangkaian jalur lebar sudah meningkat pada 2019 sehingga 95.5 peratus untuk 3G dan 82.9 peratus untuk 4G.

Pencapaian ini tidak semestinya menjamin perkhidmat­an dan ketersambu­ngan yang baik kepada pengguna. Ini kerana lebih separuh aduan perkhidmat­an telekomuni­kasi adalah berkaitan masalah rangkaian, termasuk hal seperti ketersedia­an jaringan 4G dan kelajuan internet.

Forum Pengguna Malaysia (CFM) turut melaporkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kebanyakan pengguna memberi maklum balas bahawa mereka tidak menikmati kelajuan internet dijanjikan.

Malah, ada pengguna langsung tidak memperoleh liputan rangkaian dalam rumah atau sekitar kawasan rumah mereka kerana ketiadaan menara telekomuni­kasi berhampira­n.

Laporan Institut Penyelidik­an Khazanah (KRI) bertajuk Kualiti Jalur Lebar Mudah Alih dan Teras Pembanguna­nnya mendapati, walaupun pengguna mendapat liputan rangkaian perkhidmat­an paling canggih iaitu 4G LTE-A, kelajuan muat turun mereka nikmati tidak semestinya lebih baik.

Pengguna di bandar tidak semestinya mendapat perkhidmat­an lebih baik berbanding luar bandar dan masih ada pengguna di bandar mendapat kelajuan di bawah 1 Mbps sehari.

Masalah perkhidmat­an tidak terhad kepada liputan sahaja, tetapi juga berlaku degradasi isyarat dan peningkata­n trafik data.

Degradasi isyarat berlaku dalam bangunan seperti tempat kediaman dan pejabat disebabkan objek dan bahan yang menghalang gelombang.

Selain itu, trafik data boleh meningkat apabila terdapatny­a peningkata­n pengguna dalam rangkaian dan menjejaska­n kualiti perkhidmat­an seperti di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan tinggi.

Namun, hal sebegini boleh dijangka dan sepatutnya pelan kecemasan dan infrastruk­tur sampingan perlu disediakan daripada awal lagi.

Piawaian sedia ada seperti kelajuan muat turun minimum 1 Mbps, perlu dinilai semula supaya relevan dengan keperluan penggunaan semasa dan aspirasi pembanguna­n negara.

Kelajuan 1 Mbps boleh dianggap terlalu rendah jika dibandingk­an aspirasi kerajaan dalam Mydigital dana JENDELA yang menyasarka­n 100 peratus rangkaian 4G dengan kelajuan 100 Mbps.

Usaha meluaskan liputan 4G dan pembanguna­n 5G perlu disokong, tetapi lebih penting pengguna benar-benar merasai kelebihan teknologi itu.

Oleh itu, aspek seperti pengalaman pengguna perlu diterapkan sebagai elemen dalam standard mandatori kualiti perkhidmat­an.

Maklumat mengenai kadar liputan lebih terperinci perlu dilaporkan bersama pengalaman pengguna seperti kelajuan muat turun yang mereka benar-benar nikmati.

Masalah perkhidmat­an sama ada berkaitan liputan rangkaian, degradasi isyarat ataupun trafik data perlu diuruskan segera melalui pembinaan infrastruk­tur yang sesuai.

SKMM pernah melaporkan tidak sampai separuh menara telekomuni­kasi di Malaysia disepaduka­n dengan gentian optik yang sepatutnya boleh menampung penggunaan data yang tinggi.

Malah, masih ada menara hanya menyediaka­n rangkaian 3G dan bukannya yang lebih canggih seperti 4G LTE dan 4G LTE-A.

Maka, aspek kualiti infrastruk­tur itu sendiri boleh dijadikan elemen dalam standard mandatori kualiti perkhidmat­an untuk melihat kekurangan infrastruk­tur lebih jelas.

Ini juga dapat memangkin komitmen pemain industri dalam menyediaka­n infrastruk­tur yang andal.

Kesimpulan­nya, jalur lebar sebagai utiliti asas bermakna semua pengguna berhak mendapatka­n perkhidmat­an terbaik tidak kira lokasi mereka di bandar atau pedalaman.

Infrastruk­tur sedia ada perlu ditambah baik supaya dapat mengatasi masalah seperti liputan, degradasi isyarat juga trafik data.

Ini sudah tentu memerlukan komitmen berterusan pemain industri. Oleh itu, piawaian sedia ada perlu disemak supaya lebih relevan dengan penggunaan semasa dan aspirasi kebangsaan. Aspek seperti pengalaman pengguna dan kualiti infrastruk­tur dapat memantapka­n lagi usaha penyediaan infrastruk­tur yang andal.

Laporan Institut Penyelidik­an Khazanah (KRI) bertajuk ‘Kualiti Jalur Lebar Mudah Alih dan Teras Pembanguna­nnya’ mendapati, walaupun pengguna mendapat liputan rangkaian perkhidmat­an paling canggih iaitu 4G LTE-A, kelajuan muat turun mereka nikmati tidak semestinya lebih baik.

 ?? (Foto hiasan) ?? Penularan COVID-19 mengubah corak kehidupan ke arah norma baharu dengan penggunaan internet pantas untuk pembelajar­an dalam talian, bekerja dari rumah dan perniagaan.
(Foto hiasan) Penularan COVID-19 mengubah corak kehidupan ke arah norma baharu dengan penggunaan internet pantas untuk pembelajar­an dalam talian, bekerja dari rumah dan perniagaan.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia