Berita Harian

Hargai jasa guru membentuk insan berjaya di akhirat

- Dr Mohd Ali Muhamad Don, Akademi Pengajian Islam Kontempora­ri, (ACIS), UITM Kampus Pasir Gudang, Johor

Trend meraikan tamat peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan cara menunggang motosikal berkumpula­n hingga membahayak­an pengguna jalan raya lain, menconteng baju dan memaki guru yang memberi pendidikan, adalah perbuatan biadab dan tidak bertanggun­gjawab.

Perbuatan tidak bermoral ini menunjukka­n betapa SPM dilihat segelintir pelajar sebagai penghabisa­n daripada alam persekolah­an hingga meraikanny­a dengan cara tidak senonoh dan menyimpang daripada akhlak murni.

Cuba kenang jasa dan pengorbana­n guru bersusah-payah mengajar daripada tidak kenal huruf hingga boleh mengeja, menulis dan membaca. Bayangkan tanpa guru bagaimana hendak menaip dan membaca teks di media komunikasi dan sosial popular dalam kalangan remaja masa kini.

Bagaimana pula hendak memuat naik kandungan ke Youtube, aplikasi Tiktok dan bermain PUBG jika tidak pandai membaca. Bukankah itu termasuk ‘jasa’ guru hingga mengapa mencaci maki mereka begitu sahaja?

Pelajar perlu ingat perjalanan baharu sahaja bermula untuk menjejakka­n kaki ke menara gading. Tamat SPM bukan segala-galanya hingga habis baju sekolah diconteng dan buku sekolah ditinggalk­an begitu sahaja.

Boleh sahaja pakaian sekolah dan buku itu digunakan adik yang masih bersekolah atau disedekahk­an kepada orang kurang berkemampu­an hingga menjadi amal jariah.

Pelajar juga perlu ingat peperiksaa­n bukan pengakhira­n usaha menuntut ilmu dan pengetahua­n. Malah, ia berterusan hingga akhir hayat. Ilmu pengetahua­n pula tidak terhad diperoleh di institusi pendidikan formal seperti sekolah dan universiti, bahkan pengalaman orang berjaya melalui liku kehidupan hingga dapat dijadikan teladan.

Seperti kata orang bijaksana, tuntutlah ilmu daripada buaian hingga liang lahad. Imam Shafie juga pernah menyebutka­n kita tidak akan memperoleh ilmu kecuali dengan enam perkara, iaitu cerdas, bersemanga­t, bersabar, berkemampu­an, berguru dan memakan masa lama.

Alangkah moleknya jika tamat SPM diraikan penuh kesyukuran kerana peperiksaa­n berjalan lancar, walaupun negara masih dilanda pandemik COVID-19. Daripada bertindak seperti orang tidak waras, lebih molek pelajar berjumpa semua guru pengawas peperiksaa­n dan mengucapka­n terima kasih kepada mereka pada hari terakhir peperiksaa­n.

Tanpa jasa dan pengorbana­n mereka menyediaka­n kertas soalan, memberi arahan serta memantau pelajar ketika peperiksaa­n berlangsun­g, semuanya akan tergendala.

Pelajar juga boleh berjumpa guru di sekolah ataupun setidak-tidaknya kirimkan pesanan Whatsapp mengucapka­n terima kasih atas tunjuk ajar diberikan sambil memohon agar didoakan menjadi anak cemerlang dunia dan akhirat.

Tidaklah juga menjadi kesalahan jika mengambil gambar ataupun meraikan dengan cara bermoral serta tidak bercanggah dengan undang-undang agar menjadi kenang-kenangan.

Sebagai Muslim pula, kita akan sentiasa diuji Allah SWT sepanjang kehidupan. Dalam surah al-baqarah ayat 155 hingga 157, ujian disebut datang dalam bentuk ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta benda, manakala hanya golongan sabar berjaya mengharung­inya.

Al-quran turut memperinci­kan golongan mukmin mendapat kejayaan hakiki, iaitu orang mendirikan solat dengan khusyuk, menjauhkan diri daripada perkara tidak berguna dan sia-sia, menunaikan zakat, menjaga kehormatan, menjaga amanah serta janji dan sentiasa mendirikan solat.

Perlu difahami segala bentuk ujian ialah penilaian Allah SWT kepada hamba-nya hingga orang berjaya akan meningkat darjat dan kedudukann­ya di sisi Allah SWT.

Oleh itu, segala penilaian dan peperiksaa­n di dunia tidak dapat dibandingk­an dengan amalan akhirat kerana hanya golongan berjaya dimasukkan ke syurga, manakala sesiapa gagal akan dihumbanka­n ke neraka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia