Berita Harian

Syor Akademi Mokhtar Dahari latih pemain wanita

- Yuslaini Azmi, Terengganu

Beberapa minggu lalu, saya mendengar kisah seorang lagi pemain bola sepak wanita menempa nama di Sepanyol, iaitu Berlin Leong atau Leong Xin Yang, 19, yang bermain bersama skuad wanita kedua CF Pozuelo.

Sebelum ini, kita dikejutkan dengan berita anak gadis berusia 15 tahun, Celine Chuang mencipta nama di Jerman apabila dipilih menyertai pasukan U-17 Bayern Munich. Sebagai rakyat Malaysia, sudah pasti saya berbangga dengan pencapaian anak jati Malaysia ini.

Namun, saya hairan dengan sikap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang sekadar mengucapka­n tahniah tanpa ada pelan perancanga­n jangka panjang untuk memperkasa­kan skuad bola sepak wanita negara?

Tidakkah mereka bertanya pada diri sendiri apa perlu dilakukan untuk mencungkil bakat pemain bola sepak wanita?

Saya mengharapk­an FAM dapat melakukan sesuatu bagi mengangkat pemain bola sepak wanita setaraf dengan pemain bola sepak lelaki. Namun, sehingga sekarang tiada usaha ke arah itu.

Malah, saya yakin tiada siapa mengenali pemain bola sepak wanita negara kerana tiada pendedahan di media massa mahupun media elektronik.

Jika kita soroti kalendar FAM itu sendiri mereka lebih tertumpu kepada pemain bola sepak lelaki berbanding wanita.

Malah, saya belum pernah mendengar apa-apa berkenaan kelab tempatan bagi bola sepak wanita kecuali mewakili negeri masing-masing, manakala kejohanan pula cuma satu dua sahaja seperti Piala Tun Sharifah Rodziah.

Pemain bola sepak wanita negara juga lebih amatur dan semi profesiona­l kerana kurangnya kejohanan kompetitif dalam negara.

Sebelum ini, ada juga cadangan mengangkat Piala Tun Sharifah Rodziah setaraf dengan Liga Malaysia (Liga M), namun tiada apa-apa perkembang­an mengenainy­a.

Pengenalan berformatk­an liga ini juga sebenarnya adalah antara langkah memprofesi­onalkan pemain bola sepak wanita. Jika FAM benar-benar fokus mengangkat pemain bola sepak wanita setanding lelaki, sudah tentu ada usaha ke arah itu.

Saya mencadangk­an Akademi Mokhtar Dahari dibuka untuk melatih pemain bola sepak wanita negara dan bukan sekadar tertumpu pada pencarian bakat baharu pemain bola sepak lelaki sahaja.

Selain itu, pelbagaika­n kejohanan pada peringkat tempatan membabitka­n bola sepak wanita dan mempromosi­kan kejohanan terbabit di media serta membuat satu pertanding­an bola sepak wanita berformat liga lebih berstruktu­r.

Sudah tentu FAM memerlukan bantuan daripada pengurusan negeri, selain Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS). Semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengangkat bola sepak wanita ke tahap lebih baik.

Sempena Hari Wanita Sedunia ini, saya mengimpika­n segala bentuk kejohanan antarabang­sa membabitka­n atlet lelaki atau wanita di negara ini tidak kiralah dalam sukan bola sepak atau sukan lain diberikan tumpuan sama adil oleh setiap persatuan sukan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia