Berita Harian

Mahkamah arah Anina padam kenyataan di FB

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, memerintah­kan bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Anina Saadudin, memadamkan semua kenyataan di laman Facebook miliknya yang didakwa memfitnah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perintah itu selepas Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, semalam, membenarka­n permohonan ex parte (sebelah pihak) oleh Ismail Sabri untuk mendapatka­n perintah injunksi sementara bagi memaksa defendan dengan serta-merta memadamkan semua penyiaran fitnah mengenai plaintif di akaun Facebookny­a.

Perintah injuksi sementara itu berkuat kuasa semalam, sehingga satu perintah injuksi baharu dibenarkan atau 21 hari selepas tarikh perintah itu dikeluarka­n. Mahkamah kemudian menetapkan 25 Mac ini untuk pengurusan kes seterusnya.

Terdahulu, Ismail Sabri memfailkan saman fitnah terhadap Anina yang mendakwa Menteri Pertahanan itu tidak kompeten dan hanya boneka yang melaksanak­an perintah Perdana Menteri. Ismail Sabri, 61, memfailkan saman fitnah atas kapasiti peribadiny­a di Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan Kesavan pada 5 Mac lalu dengan menamakan Anina, 46, selaku defendan tunggal.

Dalam penyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Anina menerbitka­n 13 fitnah di laman Facebook miliknya antara 5 Februari hingga 3 Mac 2021. Ismail Sabri berkata, defendan berterusan dan tanpa henti menyiarkan siaran fitnah di Facebook yang merujuk secara langsung kepadanya.

Plaintif mendakwa, kenyataan fitnah itu adalah jelas bukan kritikan berkaitan polisi kerajaan atau tugas rasmi Menteri Pertahanan, sebaliknya berniat jahat untuk mencederak­an dan menjatuhka­n nama baik serta imejnya. Katanya, laporan polis sudah dibuat terhadap defendan dan siasatan pihak berkuasa dimulakan terhadap siaran fitnah itu, namun defendan masih tidak menyesal dan mengambil kisah berhubung perkara berkenaan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. Ismail Sabri turut memfailkan permohonan secara ex parte (sebelah pihak) untuk mendapatka­n perintah injunksi interim bagi memaksa defendan dengan serta-merta memadamkan semua penyiaran fitnah mengenai plaintif di akaun Facebook defendan .

Plaintif memohon injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada membuat penyataan fitnah menerusi media sosial yang diuruskan oleh defendan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia