Berita Harian

Dadah RM4.9 juta dirampas

13 ahli sindiket guna kurier seludup bahan ditahan polis

- Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Polis merampas dadah bernilai RM4.9 juta selepas menahan 13 individu, termasuk dalang utama sindiket penyeludup­an dadah menggunaka­n syarikat kurier ke luar negara dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Sabtu dan Isnin lalu.

Hasil risikan Bahagian Risikan Antarabang­sa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, satu serbuan dilakukan ke sebuah syarikat kurier di Cheras, di sini, jam 2.30 petang Sabtu lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata hasil pemeriksaa­n ke atas lima kotak yang cuba dikirim seorang lelaki ke Indonesia dan diisytihar mengandung­i sejadah menemui ketulan kristal disyaki methamphet­amine seberat 4.2 kilogram (kg).

Katanya, susulan itu polis melakukan lapan serbuan Isnin lalu di sekitar ibu negara dan Selangor serta menahan 13 suspek berusia 18 hingga 46 tahun, termasuk lelaki warga Taiwan dan seorang wanita tempatan.

“Lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga dalang utama sindiket ini ditahan, selain polis merampas pelbagai dadah termasuk bahan kimia serta peralatan dipercayai untuk memproses dadah.

“Antara dadah dirampas ketamin, syabu, pil erimin 5 dan pil ecstasy seberat 96.1kg yang boleh dibekalkan kepada 337,787 penagih. Turut dirampas tiga kenderaan, wang tunai RM3,200 dan beberapa barangan kemas dianggarka­n bernilai RM121,200,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.

Razarudin berkata, siasatan mendapati dalang utama kes itu adalah individu yang dikehendak­i pihak berkuasa Taiwan atas kesalahan mencuri dan cubaan membunuh.

“Ujian saringan air kencing mendapati 12 daripada 13 suspek yang ditahan positif dadah jenis ketamin dan methamphet­amine.

“Selain itu, 10 daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah lalu dan kes berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek kini direman tujuh hari sehingga 14 Mac ini,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan satu sindiket pengedaran dadah antarabang­sa dikesan cuba menyeludup dadah ke luar negara antaranya Indonesia dan Korea Selatan menggunaka­n khidmat kurier dalam bungkusan mengandung­i peralatan keagamaan.

Difahamkan, peralatan keagamaan itu digunakan mengikut majoriti penganut agama sesebuah negara dengan dadah dibungkus bersama bagi mengelak dikesan.

Bagi ketamin untuk diseludup ke Indonesia, sindiket itu membungkus­nya bersama sejadah dan al-quran, manakala ke Korea Selatan pula dadah disorok pada peralatan keagamaan Buddha.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia