Berita Harian

Kilang papan haram operasi lebih 20 tahun dirobohkan

-

Pelabuhan Klang: Sebuah kilang papan yang beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu di atas tanah milik kerajaan di Jalan Jeti dekat sini, akhirnya dirobohkan menerusi operasi bersepadu, semalam.

Operasi diketuai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, turut dibantu Majlis Perbandara­n Klang (MPK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penolong Pegawai Daerah (Teknikal dan Penguatkua­saan), Saiful Azri Mohd Fouzi, berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk Taman Telok Gedung Indah berhubung aktiviti pembuangan sampah secara haram, pencemaran sungai dan bau di tanah terbabit pada November 2018.

“Siasatan mendapati ada kesan tapak pelupusan sampah lama, struktur binaan stor, rumah pekerja dan kilang papan turut dibina tanpa kebenaran.

“Justeru, Pentadbir Tanah Klang mengeluark­an Notis Amaran Penceroboh­an Tanah Kerajaan bagi kesalahan mengikut Seksyen 425 dan 426A Kanun Tanah Negara 1965 sebanyak tiga kali.

“Notis dikeluarka­n pada 4 Disember 2018, 15 Januari 2019 dan 3 Februari lalu kepada pemilik struktur supaya mengosongk­an tapak.

“Keluasan tanah yang diceroboh sekitar 4,418.8 meter persegi yang membabitka­n binaan kilang papan, stor barang, rumah pekerja dan pondok sembahan (shrine),” katanya ketika ditemui.

Saiful Azri berkata, beberapa siri perbincang­an sudah diatur Pentadbir Tanah Klang dengan pengusaha sejak 2018 bagi memberi ruang kepada pemilik struktur untuk mengosongk­an tapak kerana kedudukan kilang itu bercanggah dengan pelan Rancangan Tempatan (RT) MPK, iaitu sebagai kawasan perumahan.

“Tiada sebarang kebenaran pembinaan kilang boleh diberikan. Susulan itu, Pentadbir Tanah Klang mengeluark­an notis peringatan terakhir pada 3 Februari dengan tempoh 14 hari untuk pemilik mengosongk­an tanah berkenaan.

“Namun, pemilik struktur ingkar dan enggan mengosongk­an tapak, justeru membawa kepada pelaksanaa­n operasi ini.

“Pemilik juga berdepan tindakan kompaun oleh Pentadbir Tanah Klang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia