Berita Harian

27 maut bas jatuh gaung di Jawa Barat

Kenderaan bawa 66 penumpang didakwa alami masalah brek

-

Jakarta: Sekurang-kurangnya 27 orang maut, manakala 39 lagi cedera selepas sebuah bas dipercayai mengalami masalah brek terjunam dalam gaung di Sumedang, Jawa Barat, malam kelmarin.

Pasukan penyelamat bertungkus-lumus sepanjang malam dengan menggunaka­n kren bagi mengeluark­an mangsa, kata pihak polis dan penyelamat semalam.

Ketika kejadian, bas membawa 66 penumpang itu melalui jalan yang gelap sebelum terjunam ke dalam gaung berkenaan.

Ketua Polis Tempatan, Eko Prasetyo Robbyanto, berkata dalam kejadian lewat petang kelmarin itu, bas membawa sekumpulan pelajar sekolah menengah Islam, guru dan ibu bapa dari bandar Subang wilayah Jawa Barat melalui jalan berliku.

“Bas ini dalam perjalanan pulang ke Subang selepas mengunjung­i sebuah kawasan di daerah Tasikmalay­a sebelum pemandu hilang kawalan, menyebabka­nnya terjunam memasuki gaung sedalam 20 meter dekat daerah Sumedang.

“Polis masih menyiasat punca kemalangan, namun mangsa yang terselamat memberitah­u pihak berkuasa bahawa brek kenderaan itu tidak berfungsi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Bandung, Deden Ridwansah, berkata 27 mayat dan 39 mangsa yang cedera dibawa ke hospital serta klinik kesihatan berdekatan.

Antaranya termasuk mayat seorang budak lelaki tersepit di bawah bas yang terbalik. Bas berkenaan berjaya ditarik keluar pagi semalam.

Menurut Ridwansah, 13 mangsa sedang dirawat mengalami kecederaan serius dan pemandu bas antara yang maut, lapor agensi berita CNA.

Laporan stesen televisyen menyiarkan operasi pihak polis serta penyelamat dari Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan memindahka­n mangsa yang cedera dan mayat ke dalam ambulans.

Berita mengenai nahas itu turut mengundang tangisan dan kesedihan saudara mara mangsa yang sedang menunggu maklumat mengenai anggota keluarga mereka di Hospital Umum Sumedang.

Sementara itu, waris yang lain pula dilihat berusaha mengecam jenazah anggota keluarga di bilik mayat untuk proses pengebumia­n. AGENSI

 ?? (Foto AFP) ?? penyelamat mengeluark­an mangsa yang tersepit dalam nahas di Sumedang, Jawa Barat, malam kelmarin.
(Foto AFP) penyelamat mengeluark­an mangsa yang tersepit dalam nahas di Sumedang, Jawa Barat, malam kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia