Berita Harian

Jepun kenang sedekad kejadian gempa bumi ragut 18,500 nyawa

-

Hisanohama: Jepun semalam memperinga­ti bencana alam terburuk, iaitu gempa bumi kuat yang mencetuska­n tsunami dan krisis nuklear sehingga menyebabka­n seluruh negara itu diselubung­i trauma.

Kira-kira 18,500 orang terbunuh atau hilang dalam bencana 10 tahun lalu itu, kebanyakan dibawa arus deras yang melanda kawasan pantai timur laut selepas berlaku gempa terkuat yang pernah direkodkan.

Krisis nuklear yang berlaku di loji nuklear Fukushima Daiichi menyebabka­n kawasan berdekatan diliputi radiasi, memaksa beberapa bandar kosong tidak berpenghun­i selama bertahun-tahun dan puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah.

Semalam, rakyat Jepun melakukan upacara persendiri­an dengan bertafakur sejenak tepat jam 2.46 petang waktu tempatan iaitu saat gempa dengan kekuatan 9.0 pada skala Richter melanda negara berkenaan pada 11 Mac 2011.

Ketika matahari terbit di Hisanohama, wilayah Fukushima, Toshio Kumaki, 78 tahun, berjalan di sepanjang tembok laut raksasa yang dibangun selepas tsunami.

“Saya datang ke sini setiap pagi untuk berjalan-jalan, tetapi ini adalah hari yang istimewa,” katanya kepada AFP sambil berdoa ke arah matahari terbit.

Kira-kira 60 orang terbunuh di Ohisa, antara daerah berdekatan pantai, ketika gelombang tsunami setinggi tujuh meter menghempas ke darat, menghancur­kan segala-galanya kecuali sebuah kuil kecil.

Pada awal minggu ini, masih ada yang mencari anggota keluarga di wilayah Miyagi dan Fukushima dengan harapan mungkin ada yang terselamat dalam bencana 10 tahun lalu itu.

Di Tokyo, upacara mengingati kejadian itu akan diadakan di Teater Nasional, dengan ucapan daripada Maharaja Naruhito dan Perdana Menteri Yoshihide Suga.

Tokyo dan kawasan sekitarnya kini berada dalam keadaan darurat COVID-19, menyebabka­n jumlah tetamu yang diundang ke acara itu dihadkan.

Wabak itu juga mempengaru­hi upacara di tempat lain, termasuk perhimpuna­n doa tahunan yang diadakan di atas tembok laut di bandar Taro di Iwate. AFP

 ?? (Foto EPA) ?? Maharaja Naruhito dan Maharani Masako memberi tanda hormat pada upacara memperinga­ti kejadian gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac 2011 di Tokyo, semalam.
(Foto EPA) Maharaja Naruhito dan Maharani Masako memberi tanda hormat pada upacara memperinga­ti kejadian gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac 2011 di Tokyo, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia