Berita Harian

‘Senyap selepas menang’

Beralih profesion sebagai pendidik, Ana Raffali imbau kenangan rangkul trofi Juara Lagu

- Oleh Farihad Shalla Mahmud farihad@bh.com.my

Detik indah merangkul trofi Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-25, sedekad lalu, masih basah dalam ingatan wanita berbakat ini.

Tidak pernah terlintas dalam fikiran Ana Raffali, dia menjulang trofi yang menjadi idaman ramai, apatah lagi, ketika itu, penyanyi dan komposer ini baru bertapak dalam dunia seni.

Pada AJL25 yang disiarkan secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil pada 9 Januari 2011, lagu Tolong Ingatkan Aku

menewaskan lagu dendangan artis lain seperti Yuna yang mempertaru­hkan lagu Cinta Sempurna.

Tidak hairanlah kemenangan dan keputusan AJL25 yang meletakkan lagu Drama King

dendangan Meet Uncle Hussain dan Noktah Cinta (Hafiz) sebagai pemenang kedua dan ketiga, diperkatak­an.

Mengimbau kembali detik manis lagu Tolong Ingatkan Aku

mengunggul­i AJL25, Ana mengaku semuanya ibarat mimpi.

“Kemenangan pada malam kemuncak AJL25 ibarat mimpi jadi nyata. Sampai sekarang, saya masih terasa seperti di awangawang­an.

“Saya mendapat pengiktira­fan barisan juri di mana saya membesar dengan lagu mereka.

“Malah, saya anggap mereka hero tatkala mereka beraksi atas pentas,” katanya kepada HIP.

Selepas sedekad kejayaan diraih, memori bertandang semula apabila ada peminat teringat kisah ketika single itu diperdenga­rkan pada 2010.

“Ada peminat ketika itu masih berada di kolej dan berkongsi kenangan indah yang ada kaitan dengan lagu berkenaan,” katanya.

Berkongsi pengalaman kali pertama menyertai acara anugerah breprestij itu, Ana atau nama penuh, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, mengaku rasa bimbang menghantui dirinya.

Mengapa tidak, pada malam kemuncak itu, kesihatan dirinya tidak memuaskan.

“Beberapa hari sebelum AJL berlangsun­g, saya diserang batuk dan selesema.

“Saya risau sangat... Pada malam itu, saya sediakan ubatubatan dan air limau untuk memastikan penyakit saya tidak bertambah teruk.

“Saya bersyukur persembaha­n saya pada malam itu lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Ana berkata, dia teruja hasrat membawa teman-teman teater ke pentas AJL menjadi nyata dengan konsep teaterikal yang ditampilka­n pada malam kemuncak.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Zahiril Adzim dan rakan lain kerana menyempurn­akan hasrat saya itu,” katanya yang kini menjadi ibu kepada dua cahaya mata.

Ketika dirinya teruja meraikan kejayaan, timbul pula cakap-cakap nakal yang mempertika­ikan kemenangan­nya itu.

Malah, ada segelintir pihak melabelkan lagunya ‘sampah’ dan tidak layak diangkat sebagai juara.

Ditanya perasaan berdepan situasi itu, Ana yang terkenal dengan imej berkebaya sambil memetik gitar, kecewa dan sedih dengan pengalaman yang dilaluinya.

Saban tahun, pasti ada suarasuara sumbang yang mempertika­ikan kemenangan artis.

“Apabila perkara itu menimpa saya, sudah tentu saya sedih. Tetapi, saya tidak salahkan mereka.

“Setiap orang ada kecenderun­gan terhadap artis yang mereka minat. Individu yang mempersoal­kan kemenangan saya tentu ada penyanyi kegemaran yang dirasakan layak menang,” katanya.

Namun, bagi Ana, dia lebih percaya kepada konsep rezeki.

“Lagipun, keputusan dibuat juri profesiona­l yang mempunyai pengetahua­n dan pengalaman dalam bidang muzik.

“Jadi, kenalah faham dan hormat keputusan dibuat,” katanya.

Biarpun ada pihak tidak senang dengan kemenangan­nya, Ana bersikap positif dan yakin dengan bakat dimiliki.

“Apabila saya jumpa peminat di luar bandar, rata-rata mereka sokong kemenangan saya dan mendoakan agar karier nyanyian terus sukses,” katanya.

Seperti diketahui ramai, ketika ini, dunia Ana bukan lagi di pentas seni.

Sebaliknya, Ana beralih arah kepada bidang pendidikan, lantas namanya pudar dalam dunia muzik.

Mengulas perkara itu, graduan jurusan Pendidikan Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Universiti Teknologi Mara (UITM) ini berkata, sejak dahulu, dia menyimpan cita-cita menjadi pendidik.

“Sebagai graduan TESL, rasa sayang jika ilmu yang saya ada tidak dikongsi. Saya pernah bercita-cita menjadi penyanyi dan penulis lagu.

“Hasrat itu sudah dicapai. Malah, saya dapat ‘bonus’ apabila menang trofi Juara Lagu.

“Menjadi pendidik adalah salah satu daripada impian saya. Selagi masih bernafas, saya tidak akan berhenti mengejar hasrat yang terpendam dalam jiwa ini,” katanya.

Ana masih mengikuti perkembang­an industri muzik biarpun tidak aktif lagi di persada seni.

“Saya bangga kita ada ramai pelapis muda yang berbakat besar. Cuma dalam zaman media sosial hari ini, agak sukar untuk membezakan artis yang jujur berkarya atau yang mengejar glamor dan populariti,” katanya yang mengagumi bakat Aina Abdul.

 ?? (Foto IG Ana Raffali) ?? Ana yang juga graduan TESL, kini menjadi pendidik sepenuh masa.
(Foto IG Ana Raffali) Ana yang juga graduan TESL, kini menjadi pendidik sepenuh masa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia