Berita Harian

KDA ada kelebihan jinak Penang

-

Kuala Lumpur: Saingan Liga Super terus mempamerka­n aksi menarik dengan dua jaguh utara tanah air, Penang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan membuat perhitunga­n di Stadium Bandaraya, malam ini.

Lebih menarik, Penang dan KDA seakan memiliki rekod sama dalam dua perlawanan awal sebelum ini yang mana mereka menang di gelanggang sendiri dan tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.

Walaupun tampak memiliki peluang seimbang, namun bekas pengendali skuad kebangsaan, B Sathianath­an tetap menganggap KDA memiliki kelebihan untuk meraih kemenangan.

Beliau berkata, pengalaman dan persefaham­an antara pemain dilihat menjadi kelebihan KDA, mengatasi Penang yang juga pendatang baharu dalam Liga Super.

“Bukan senang kerana KDA pun dapat kemenangan, jadi kalau kita nak bandingkan Kedah lawan Johor Darul Ta'zim (JDT), itu lain kerana perlawanan pertama memang susah.

“Perlawanan kedua kita lihat KDA sudah bangkit, Penang pun bermain dengan baik ketika menentang JDT, tapi perlawanan berdepan Kedah pasti berbeza.

“Saya nampak kekuatan mereka (KDA) pada dua penyerang, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.

Mereka bukan penyerang yang biasa, kalau bagi ruang mereka akan ambil kesempatan.

“Penang bermain dengan baik tetapi saya nampak mereka banyak bergantung kepada individu. KDA ini sebagai pasukan mereka sudah lama bersama dan pemain mendapat persefaham­an yang lebih daripada Penang,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Penang mempunyai rekod baik di gelanggang sendiri apabila menewaskan Kuala Lumpur City 1-0 sebelum tewas 0-2 kepada JDT, sementara Kedah yang turut tewas dengan jumlah gol sama di tangan Harimau Selatan pada aksi pertama bangkit menundukka­n Sabah 2-0 di gelanggang sendiri, Selasa lalu.

Selain itu, Sathianath­an yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) menganggap aksi peluang beraksi di gelanggang sendiri tidak memberi kelebihan buat Penang kerana ia berlangsun­g tanpa penonton.

“Tengok dalam kes Liverpool, tak pernah mereka kalah sampai enam kali berturut-turut (di tempat sendiri). Jadi, dalam situasi COVID-19 ini, tidak kira main di tempat sendiri atau tempat lawan, ini yang berlaku.

“Mungkin orang kata (pasukan tuan rumah) sudah biasa dengan padang, tapi berapa pasukan yang betul-betul berlatih atas padang yang akan digunakan untuk perlawanan? tiada.

“Apa kelebihan buat tuan rumah sebelum ini adalah penyokong, tapi masa COVID-19 mana ada penyokong, satu stadium boleh dengar suara jurulatih,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia