Berita Harian

Perang psikologi UNIKL, TNB

-

Kuala Lumpur: UNIKL dan TNB yang akan bertarung merebut Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (MHL) sudah sedia mengeluark­an ‘taring’ masing-masing di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Malah, kedua-dua pasukan senada apabila menegaskan kemenangan bakal menjadi tonik terbaik buat mereka mengharung­i perlawanan liga dan memburu slot ke Piala TNB.

Jurulatih UNIKL, Megat Azrafiq Termizi mengakui TNB bukan calang-calang lawan tetapi optimis anak buahnya mampu menyekat lawan sekali gus mempertaha­nkan kejuaraan.

“Kami tidak tempang walaupun tanpa tonggak import kali ini. Kami masih mempunyai kualiti bersandark­an kepada pemain berpengala­man dan tonggak muda berbakat.

“Saya percaya perlawanan pasti seimbang, siapa yang kurang buat kesilapan dan mengambil peluang terhidang akan meraih kejayaan,” katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih TNB, Amin Rahim berkata, pasukannya ketika ini berada di tahap prestasi terbaik dan akan memberi fokus sepenuhnya pada perlawanan berkenaan.

“Kita tahu UNIKL mempunyai 10 pemain kebangsaan dan kita juga sama. Kunci kekuatan mereka sudah tentu terarah kepada pakar pukulan sudut penalti, Razie Rahim serta dua pemain berpengala­man Marhan Jalil dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil.

“Melihat semula kepada kekuatan dimiliki oleh kami sendiri, kami akan cuba mengimbang­i kekuatan mereka. Kedua-dua pasukan adalah seimbang dan siapa yang lebih fokus dan berjaya mengambil peluang, akan muncul selaku juara,“katanya.

Untuk rekod, UNIKL muncul juara Piala Sumbangsih tahun lalu selepas menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 3-2.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia