Berita Harian

PM negatif COVID-19 selepas lawatan rasmi

-

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan negatif COVID-19 selepas memperoleh keputusan ujian calitan pada hari keenam beliau menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO), semalam.

Perdana Menteri menjalani HSO sebaik beliau dan delegasi tiba di Kuala Lumpur dari Abu Dhabi pada jam 9.34 malam, 11 Mac lalu selepas melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Semalam (15 Mac) saya sudah menjalani ujian swab (calitan) saringan COVID-19 hari kelima HSO selepas kembali daripada lawatan rasmi di Arab Saudi dan UAE. Alhamdulil­lah syukur ke hadrat Allah SWT, hari ini (semalam), hari kuarantin yang keenam, saya mendapat keputusan ujian saringan dan disahkan negatif,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, semalam.

Muhyiddin berkata, beliau dan seluruh delegasi sudah diberikan HSO untuk tempoh tujuh hari dan turut dipakaikan gelang pengawasan.

“Sepanjang lawatan rasmi enam hari di Arab Saudi dan UAE, saya dan delegasi sudah menjalani sebanyak lima ujian ‘swab’ saringan COVID-19 bagi memastikan risiko jangkitan virus terbabit ke atas saya dan delegasi sentiasa dipantau,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perdana Majlis Perundinga­n Pelajar Kebangsaan (MPPK) secara maya semalam, mengajak pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bekerjasam­a dengan kerajaan dalam menguar-uarkan manfaat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kepada rakyat.

Beliau menegaskan, program vaksinasi antara usaha kerajaan menurunkan kadar jangkitan COVID-19 dalam kalangan penduduk dan bagi fasa ketiga yang akan datang, kumpulan pelajar, termasuk dalam senarai penerima suntikan berkenaan.

“Maka, saya mengharapk­an semua sudah daftarkan diri. Saya mengharapk­an saudara dan saudari selaku jurucakap kepada pelajar IPT, menguar-uakan manfaat program vaksinasi ini kepada mereka di luar sana juga,” katanya.

Hari ini (semalam), hari kuarantin keenam, saya dapat keputusan ujian saringan dan disahkan negatif.

Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia