Berita Harian

‘Pelajar IPT wajar santuni kebebasan’

MPPK platform signifikan bentuk legasi kepemimpin­an

- Oleh Rohaniza Idris dan Luqman Arif Abd Karim bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ruang dan kebebasan yang diberikan oleh kerajaan untuk golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menyampaik­an segala permasalah­an atau isu, wajar disantuni sebaik mungkin mengikut saluran yang betul, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, ia perlu disulami tanggungja­wab untuk meletakkan nilai integriti sebaris dengan nilai rasional, selain bersandark­an kepada kesopanan dan kesusilaan, jauh daripada desakan emosi, disuarakan secara membuta tuli atau disebabkan hasutan pihak lain.

“Setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh daripada desakan emosi, membuta tuli atau hasutan pihak lain agar darjat eksklusif mahasiswa tidak disalahgun­akan.

“Kepemimpin­an berkesan adalah meletakkan perkara pertama dahulu, pengurusan efektif adalah disiplin dalam melaksanak­annya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Mesyuarat Perdana Majlis Perundinga­n Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2021 secara maya yang disiarkan di laman Facebook Kementeria­n Pengajian Tinggi (KPT), semalam.

Mesyuarat dipengerus­ikan sendiri Perdana Menteri, turut dihadiri Menteri Kanan Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Muhyiddin berkata, platform seperti MPPK sangat signifikan bagi membentuk legasi kepemimpin­an dalam kalangan pelajar yang seterusnya melahirkan pemimpin pelajar berkualiti, berfikiran kritis dan idealis, selain sebagai medium signifikan untuk menyangkal dakwaan bahawa pelajar IPT yang sinonim dengan istilah ‘darah muda’, sentiasa membuat keputusan terburu-buru.

Katanya, mesyuarat itu sebagai acuan yang akan membentuk pemimpin pelajar dalam membuat keputusan secara matang, di samping membina keperibadi­an unggul kerana pelajar IPT adalah aset dan modal insan negara yang paling berharga, bukan sahaja dari aspek tenaga kerja serta kemahiran selepas tamat pengajian.

“Ia juga dari aspek kognitif, iaitu sumbangan idea yang bernas untuk membantu dan bersama-sama kerajaan memacu pembanguna­n negara. Justeru, saya amat menggalakk­an agar peluang dan ruang yang ada dimanfaatk­an oleh semua pihak yang terbabit.

“Saya percaya dengan komunikasi secara dua hala antara pelajar dan juga kerajaan melalui forum MPPK diperkukuh­kan lagi dengan bakat kepemimpin­an dimiliki ahli MPPK, adalah solusi terbaik bagi menyelesai­kan isu berbangkit, terutama berkaitan kebajikan pelajar IPT, akan dapat dicapai,” katanya.

Sambil menggalakk­an pelajar mengambil peluang dan ruang yang ada, termasuk mesyuarat perdana itu untuk dimanfaatk­an bersama pihak yang terbabit, beliau juga membangkit­kan sesi pertemuan dengan wakil MPPK pada 30 Jun lalu yang membentang­kan 11 agenda berkait rapat dengan isu kebajikan serta pemerkasaa­n pelajar IPT untuk perhatian dan tindakan kerajaan.

“Saya percaya semua agenda itu sudah diberikan perhatian dan diambil tindakan oleh KPT,” katanya menambah, mesyuarat perdana MPPK akan meneruskan tradisi dan mampu membentang­kan hasrat pelajar yang berupaya meningkatk­an kesejahter­aan penuntut IPT dan masyarakat secara keseluruha­n.

“Manfaatkan platform ini dan bermusyawa­rahlah secara matang, rasional serta beretika. Kehadiran wakil dari pelbagai kementeria­n, jabatan dan agensi kerajaan pada hari ini (mesyuarat semalam) adalah bukti komitmen dan sokongan kerajaan dalam usaha memartabat­kan peranan pelajar IPT menerusi Mesyuarat Perdana MPPK,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan sentiasa cakna kepada keperluan pelajar untuk mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajar­an (PDP) secara dalam talian dan untuk itu, KPT mengambil inisiatif bekerjasam­a dengan IPT untuk membantu golongan berkenaan, terutama mereka daripada keluarga berpendapa­tan 40 peratus terendah (B40).

“Ini termasukla­h memberikan bantuan RM50 secara one-off kepada 76,153 pelajar baharu sesi akademik 2020/2021 yang membabitka­n peruntukan RM3.8 juta. Selain itu, bantuan pelan data B40 dengan peruntukan RM24 juta yang memanfaatk­an 320,396 pelajar dan bantuan peranti B40 bersasar membabitka­n peruntukan RM13 juta kepada 8,965 pelajar,” katanya.

Muhyiddin berkata, inisiatif dilaksanak­an adalah manifestas­i bahawa kerajaan sentiasa prihatin dengan segala hasrat yang diutarakan pelajar dan permintaan mereka, terutama sekali berkaitan usaha memperkasa­kan mahasiswa ketika pandemik COVID-19.

 ?? (Foto ihsan FB Kementeria­n Pengajian Tinggi) ?? Muhyiddin pada perutusan sempena Mesyuarat Perdana Majlis Perundinga­n Pelajar Kebangsaan 2021 secara maya disiarkan di laman Facebook KPT , semalam.
(Foto ihsan FB Kementeria­n Pengajian Tinggi) Muhyiddin pada perutusan sempena Mesyuarat Perdana Majlis Perundinga­n Pelajar Kebangsaan 2021 secara maya disiarkan di laman Facebook KPT , semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia