Berita Harian

Top Glove mengaku tak bersalah atas 10 pertuduhan

-

Ipoh: Syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam, atas 10 pertuduhan gagal menyediaka­n penginapan sempurna kepada pekerja mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Tertuduh diwakili pengarah syarikat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyediaka­n penginapan tidak memenuhi keperluan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah Tenaga Kerja (JTK) bagi pekerja asing seperti kehendak Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Tasek Mutiara 2, Pusat Perdaganga­n Tasek Mutiara pada masa berbeza, 26 November 2020.

Oleh yang demikian, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang memperuntu­kkan hukuman denda sehingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim dan Zaihas Mohd Syakir Hasfar, manakala tertuduh diwakili Peguam Bela Chew Jee San.

Mahkamah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 26 November lalu, satu daripada asrama tempat penginapan pekerja syarikat itu di kawasan perumahan Tasek di sini, didapati melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia