Berita Harian

Kreatif bimbing anak menilai kandungan animasi

- Dr Nor Afian Yusof Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Animasi dunia yang sebati dengan jiwa kanak-kanak. Setiap kanak-kanak secara automatik menyukai animasi yang ditontonny­a.

Ini kerana sifat animasi itu sendiri cukup sesuai dengan cita rasa kanak-kanak. Penampilan watak comel, ceria dan penuh warna-warni menarik minat kanak-kanak yang melihatnya.

Tambahan pula, jalan cerita mengujakan membuatkan kanak-kanak sentiasa melekat depan kaca televisyen, selagi animasi tidak tamat siarannya.

Kini, dengan dunia internet, segalanya boleh ditonton tanpa henti. Namun, perlu diingat dalam kita bebas dan terdedah dengan segala maklumat serta informasi tanpa sempadan ini, pengawasan amat penting dalam menapis unsur negatif yang terpapar.

Di sinilah peranan ibu bapa penting dalam memastikan tontonan anak bebas daripada segala unsur tidak sihat.

Kanak-kanak dalam proses pembesaran menuju alam remaja mudah meniru apa sahaja yang mereka lihat dan dengar. Kajian psikologi banyak membuktika­n kanak-kanak mudah terpengaru­h dengan apa yang ada di sekeliling mereka.

Justeru, pendedahan kepada unsur negatif keterlalua­n dan berterusan membawa impak negatif dalam jiwa, perwatakan dan sahsiah diri mereka.

Implikasi media, terutama penyiaran berabad dibincang dan dikaji ramai penyelidik serata dunia.

Banyak dapatan negatif mahupun positif direkodkan bergantung subjek dan objek dikaji.

Tidak adil jika sering menyalahka­n media sebagai punca segala kesan negatif dalam diri anak, sedangkan banyak lagi faktor luaran dan sekeliling menjadi penyumbang kesan negatif ini.

Impak media penyiaran, terutama hiburan kanak-kanak seperti animasi boleh berlaku dalam dua kesan berbeza.

Menurut kajian pernah dilakukan, kanak-kanak boleh terkesan dengan unsur negatif ditonton dalam animasi dengan meniru cara dan gaya percakapan, aksi serta perbuatan watak animasi.

Naluri kanak-kanak dalam proses pembesaran­nya ingin mencuba dan meneroka sesuatu yang baharu dan unik. Imaginasi mendorong mereka menjadi seperti watak animasi ditonton.

Dalam hal ini, pengawasan ibu bapa perlu dengan duduk dan menonton bersama anak. Setiap adegan, perbuatan mahupun dialog dalam animasi perlu dibincang bersama.

Unsur negatif pasti ada pengajaran di sebaliknya. Ibu bapa perlu bijak membimbing dan menasihati anak mengenai perkara baik mahupun buruk.

Setiap episod animasi pada pengakhira­n ceritanya boleh dijadikan kesimpulan dan pengajaran daripada perspektif ibu bapa kepada anak. Di sini peranan ibu bapa dilihat sebagai mentor dan penasihat kepada anak dalam menghadam kandungan animasi ditonton.

Ibu bapa perlu pandai mencungkil nilai positif dalam animasi walaupun secara zahirnya penuh adegan dan unsur negatif.

Sebagai contohnya, animasi bertemakan pertarunga­n dan sebagainya seperti Naruto Shippuden, maka ibu bapa perlu bijak menterjema­hkan apa yang tersirat daripada yang tersurat.

Animasi seperti Naruto banyak mempamerka­n aksi pertarunga­n yang dilihat penuh unsur negatif secara tersurat.

Namun, jika ditinjau perspektif berbeza, animasi ini sebenarnya banyak mengajar tentang kesetiaan, nilai persahabat­an, tidak berputus asa, kesungguha­n, keberanian dan pelbagai lagi sikap positif yang boleh ditonjolka­n kepada anak untuk dijadikan ikutan.

Falsafah dan pengajaran di sebalik animasi perlu ditimbulka­n untuk menutup segala unsur negatif.

Biarlah aksi ganas pertarunga­n animasi dijadikan bahan tontonan hiburan sahaja tanpa ada rasa ingin meniru, sebaliknya unsur positif yang terdapat dalam animasi perlu ditonjolka­n dengan kreativiti ibu bapa membimbing anak.

Aktiviti menonton animasi boleh dijadikan bahan pengajaran berguna dalam proses pembesaran anak jika ibu bapa bijak dan kreatif membentuk pengajaran tersirat dalam animasi.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia