Berita Harian

Karya seni awam mampu tingkat nilai, imej bandar

- Prof Madya Dr Azahar Harun Penulis adalah Ketua Entiti Kecemerlan­gan Public Art Creative Aesthetic Quality (PACAQ), Universiti Teknologi MARA (UITM) Melaka

Keindahan dan keunikan sesebuah bandar tidak harus dinilai pada deretan bangunan pencakar langit moden semata-mata, tetapi juga infrastruk­tur awam seperti landskap, ruang pejalan kaki, papan iklan, lampu jalan dan sebagainya.

Satu daripada aspek yang semakin mendapat perhatian, terutama dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara, adalah karya seni awam khususnya lukisan mural dan arca tiga dimensi (3D).

Jika diperhatik­an, banyak bandar di Malaysia mempunyai karya seni awam berunsurka­n kebudayaan, sejarah, komuniti dan keunikan setempat.

Beberapa contoh dapat dilihat seperti replika burung helang gergasi di Kuah, Langkawi dan lukisan mural di Georgetown Pulau Pinang.

Karya seni awam ini bukan sahaja mempopular­kan bandar terbabit, tetapi menjadi ikon terkenal di persada dunia.

Sungguhpun begitu, tidak semua karya seni awam sedia ada mampu memberikan impak kepada imej bandar. Ini mungkin disebabkan faktor reka bentuk kurang menarik, kualiti binaan dan gaya seni rendah serta lokasi yang tidak strategik.

Ada juga karya seni awam mempamerka­n tema yang kelihatan terlalu sering digunakan atau dalam erti kata lain ‘klise’.

Disebabkan faktor ini, tidak hairanlah wujud satu persepsi dalam kalangan masyarakat yang menganggap karya seni awam tidak lebih sekadar aksesori semata-mata.

Bagaimanak­ah sesuatu keputusan projek karya seni awam ini dibuat dan adakah ia mampu menepati ekspektasi?

Persoalan ini ditimbulka­n kerana segala aspek mengenai karya seni awam seperti reka bentuk, konsep, tema, bahan, kedudukan, kualiti binaan dan fungsi mampu menimbulka­n pelbagai reaksi.

Di bandar raya Singapura misalnya, terdapat pelbagai karya seni awam berbentuk abstrak yang bukan sahaja kelihatan unik, tetapi dibina atas prinsip Feng Shui yang bererti air dan angin. Ia adalah asas untuk mencapai kestabilan antara manusia dan alam.

Prinsip Feng Shui mempunyai pantang larang yang wajib dipatuhi. Sebagai contoh sudut tajam dikatakan mempunyai unsur negatif (Negatif Chi) yang dipercayai boleh mendatangk­an nasib malang atau kerugian.

Apa yang menarik lagi, prinsip Feng Shui ini bukan sahaja diadaptasi dalam seni awam, tetapi juga mempengaru­hi perancanga­n bandar Singapura.

Berbanding Malaysia, prinsip Feng Shui mungkin tidak begitu menonjol, sebaliknya menekankan falsafah berlandask­an budaya, mitos sejarah dan seni Islam.

Sebagai contoh, karya seni awam atau arca Puncak Purnama karya Allahyarha­m Datuk Syed Ahmad Jamal. Arca ini mempunyai dua objek berbentuk gunung dengan jaluran mendatar dan menegak serta didirikan dalam kolam air berbentuk bulat.

Bagaimanap­un pada 2016, Puncak Purnama dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas alasan kos penyelengg­araan yang mahal, vandalisme dan keselamata­n awam.

Puncak Purnama boleh dianggap karya seni awam yang mendukung falsafah seni Islam dan budaya masyarakat serta secara tidak langsung mempengaru­hi aliran seni awam di Malaysia. Satu perkara jelas mengenai karya seni awam di bandar Malaysia ialah ciri-ciri tubuh badan manusia dielakkan kerana bertentang­an ajaran Islam.

Sungguhpun demikian, menurut Dr Rosli Zakaria (2018), terdapat beberapa karya seni awam era pasca merdeka yang dipengaruh­i pemikiran penjajah British bagi tujuan propaganda.

Sebagai contoh arca perdana menteri pertama Malaysia, Tunku Abd Rahman Putra Al Haj, di pekarangan Parlimen. Arca ini kurang mendapat liputan berbanding Tugu Negara disebabkan lokasinya yang eksklusif dan mungkin juga kerana faktor sensitivit­i masyarakat Melayu Islam.

Karya seni awam tidak harus dianggap sebagai satu inisiatif bersifat one-off atau hanya sekadar mengisi ruang tertentu. Sebaliknya, ia medium kreatif yang memberi inspirasi, mempromosi identiti komuniti, meraikan sesuatu peristiwa dalam sejarah negara atau komuniti serta mewujudkan perbincang­an awam.

Inisiatif ini juga selari matlamat pembanguna­n lestari (SDG) yang diasaskan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), iaitu meningkat kualiti hidup dan persekitar­an bandar.

Dalam hal ini, suatu perubahan dasar perlu diambil oleh majlis perbandara­n bagi menambah baik program pengindaha­n bandar.

Ini boleh direalisas­ikan dengan mewujudkan kolaborasi antara golongan pengkarya seni awam, ahli penyelidik universiti, ahli pengkaji sejarah, pihak industri, wakil komuniti dengan majlis perbandara­n.

Setiap institusi boleh memainkan peranan memberikan input dan mencari kaedah berkesan dalam mengindahk­an kawasan bandar dan meningkat imej serta kualiti persekitar­an bandar.

Sebagai kesimpulan, inisiatif karya seni awam dilakukan pihak majlis perbandara­n haruslah disokong dan ditingkatk­an dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman serta selari dengan kepesatan teknologi.

Di sini, penyertaan pengkarya seni awam dan penyelidik dilihat sebagai rakan strategik yang dapat membantu pihak majlis perbandara­n bagi mencapai hasrat dalam program pengindaha­n bandar.

Ganjaran daripada inisiatif karya seni awam yang diambil sememangny­a bukanlah dalam bentuk wang ringgit, tetapi kepuasan dan kegembiraa­n serta ilmu yang bermanfaat untuk masyarakat itu, menjadi hadiah yang sangat bernilai.

Karya seni awam tidak harus dianggap sebagai inisiatif bersifat one-off atau hanya sekadar mengisi ruang tertentu. Sebaliknya, ia medium kreatif yang memberi inspirasi, mempromosi identiti komuniti, meraikan sesuatu peristiwa dalam sejarah negara atau komuniti serta mewujudkan perbincang­an awam.

 ??  ?? Karya seni awam satu daripada inisiatif mempopular­kan dan menjadi ikon sesebuah bandar.
Karya seni awam satu daripada inisiatif mempopular­kan dan menjadi ikon sesebuah bandar.
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia