Berita Harian

Integrasi ilmu Islam, STEM lahir modal insan seiring era digital

- Mohammaddi­n Abdul Niri, Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Ledakan perkembang­an sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam era digital kini tidak dapat dielakkan.

Ditambah cabaran pandemik COVID-19 yang melanda secara global, peranan STI sebagai pemudah cara kehidupan insan semakin terserlah.

Ia bukan lagi sekadar kehendak, malah keperluan semasa. Elemen digital terpenting dalam STI, iaitu data sebagai pemacu kehidupan mendatang semakin nampak signifikan­nya dalam segenap segi.

Daripada sektor pentadbira­n, ekonomi, sosial, kemanusiaa­n, kemasyarak­atan, pendidikan sehinggala­h dalam sektor STI itu sendiri yang berkembang lebih rancak dalam pelbagai juzuk daripada sains hayat, sains bahan hinggalah sains gunaan, data menjadi sumber asas dalam membuat keputusan, penyelesai­an masalah dan inovasi.

Ironinya, ketika persekitar­an terkini begitu menuntut masyarakat semasa memiliki literasi dan kompetensi STI, Malaysia berhadapan kemerosota­n jumlah pelajar yang mengambil jurusan Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik (STEM) pada peringkat pendidikan menengah.

Kemerosota­n ini amat membimbang­kan kerana penyertaan pelajar dalam jurusan STEM penting demi kemajuan negara, selaras perkembang­an Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

Dari sudut pandangan berbeza, peranan menyediaka­n dan memperkasa­kan modal insan untuk persekitar­an IR4.0 sebenarnya boleh dimainkan secara tidak langsung oleh institusi keilmuan Islam.

Prof Madya Dr Noor Naemah Abdul Rahman melalui kertas utama bertajuk ‘Cabaran Institusi Fatwa Dalam Era IR4.0’ disampaika­n ketika Seminar Antarabang­sa Hukum Islam Semasa Ke-10 2020 menyatakan, sudah sampai masanya modal insan Islam dilengkapk­an dengan kompetensi STI terkini.

Antaranya pengkomput­eran, pengaturca­raan, pengujikaj­ian dan analisis prediktif. Bermakna, modal insan Islam kini bukan hanya sekadar memetik dan memahami teks keilmuan Islam, bahkan berani maju ke hadapan melengkapk­an diri dengan kemahiran STI.

Motifnya, supaya dapat memperkuat­kan disiplin ilmu Islam secara konteks melalui kajian eksperimen­tal dan lapangan.

Persekitar­an IR4.0 memberi impak terhadap industri membabitka­n hukum Islam seperti halal, kefatwaan, perundanga­n, perniagaan, pengurusan dan kewangan Islam.

Berdasarka­n realiti di atas, keperluan mengintegr­asikan ilmu Islam dan STEM jelas signifikan dan ia boleh dilakukan secara strategik melalui pendekatan intervensi pendidikan bersepadu. Contohnya melalui ilmu falak.

Ini dijelas Pakar astrofizik dan ilmu falak, Prof Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin, pada sesi pelancaran Program MOSTI Mentor-mentee STEM 2020 peringkat Universiti Malaya (UM) dan Sekolah Islam Darul Ehsan Subang Jaya.

Dalam keilmuan Islam, ilmu falak bukan sahaja membantu menyampaik­an doktrin asas akidah Islam, tetapi mengajar soal hukum amali fiqh, perkaedaha­n dan maqasidnya.

Antaranya menerusi Surah al-baqarah ayat 189 berkaitan kenampakan hilal sebagai permulaan ibadat puasa, serta ia juga sarat dengan manifestas­i tazkiyatun­nafs yakni pembersiha­n jiwa yang mana keindahann­ya terpapar dalam Surah Shams ayat 1 hingga 15.

Adapun dalam jurusan STEM, ilmu falak mengajar perhitunga­n matematik terutamany­a trigonomet­ri, geometri, statistik dan kalkulus.

Dalam pengkomput­eran dan sistem maklumat, ia mengajar komputasi diskrit dan mantik kabur. Melalui sains fizik, ilmu falak mengajarka­n optik dan zarah keunsuran terutamany­a fitrah cahaya secara empirikal.

Inisiatif mengintegr­asikan ilmu Islam dan STEM melalui pendekatan intervensi pendidikan bersepadu ilmu falak kini dibangunka­n dengan elemen keusahawan­an dan digital menggunaka­n nama simbolik Pintar al-aflak oleh Pasukan Penyelidik­an Geran GA0082020 di bawah MOSTI, Pusat STEM UM dan National STEM Associatio­n.

Inisiatif awal ini membabitka­n pelbagai pihak merangkumi peringkat rendah, menengah, universiti, lanjutan dan industri.

Ia dikongsika­n daripada perspektif organisasi dan struktur oleh penulis dalam Webinar Ilmu Falak Peringkat Antarabang­sa baru-baru ini pada 10 Mac 2021 anjuran UIN Walisongo Semarang, Indonesia.

Semoga inisiatif integrasi ini dapat membantu bidang ilmu falak bukan sahaja dalam menyelesai­kan polemik ilmiah dalamannya, bahkan teradaptas­i dalam pelbagai bidang ilmu lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia