Berita Harian

Pemandu jengkaut didakwa bunuh isteri

Suami berdepan hukuman gantung sampai mati turut dituduh miliki senjata api tanpa lesen

- Oleh Mohamed Farid Noh farid_noh@bh.com.my

Kota Tinggi: Seorang pemandu jengkaut didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan membunuh isterinya dan memiliki senjata api tanpa permit pada 1 Mac lalu.

Tertuduh, Mohd Hanafi Patahur Rahim, 43, yang menghadapi lima pertuduhan hanya menyatakan faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Dia dituduh membunuh isterinya, Noor Hasliza Alias, 38, di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi, 1 Mac lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Majistret kemudian menetapkan 18 April ini bagi sebutan semula untuk penyerahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen pula, Hanafi dijatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap empat pertuduhan, iaitu bagi memiliki dua laras senapang dan memiliki peluru tanpa kebenaran.

Hakim Zahillah Mohammad Yusoff membuat keputusan berkenaan selepas pemandu jengkaut itu mengaku bersalah atas semua empat pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa memiliki selaras senapang tiada jenama dan model serta 14 butir peluru pelbagai jenis, tanpa lesen yang sah. Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, Mohd Hanafi didakwa memiliki selaras senapang Canon Super Model 737 Cal 177 dan 50 butir peluru pelbagai jenis, tanpa lesen yang sah.

Kedua-dua senapang dan 64 butir peluru itu ditemui di dua lokasi berbeza di Kota Tinggi, antara jam 11.30 pagi hingga 9 malam, pada 1 Mac lalu.

Mohd Hanafi dituduh melakukan perbuatan itu di dua rumah,

Mohd Hanafi tiba

iaitu di Ladang Pasir Panjang dan Taman Sri Saujana, Kota Tinggi pada 11.30 pagi hingga 9 malam, 1 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960 (206) yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan pada kedua-dua prosiding berkenaan dikendalik­an Pengarah Pendakwaan Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Muhammad

Syafiq Mohd Ghazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Hanafi dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman ringan kerana dia perlu menanggung empat anak, selain perlu membayar pinjaman bank.

Hakim kemudian memutuskan dia dijatuhi hukuman penjara masing-masing lima, empat, enam dan lima tahun bagi keempat-empat pertuduhan itu, namun berjalan serentak daripada tarikh tangkap 1 Mac lalu.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, semalam.
(Foto BERNAMA) di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia