Berita Harian

‘Belum sesuai tanam semula bakau’

Kerajaan negeri perlu tunggu hasil pemantauan di Tanjung Tuan selama 2 tahun

- Oleh Hassan Omar bhnews@bh.com.my

Port Dickson:kajian Institut Alam Sekitar dan Pembanguna­n, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati kawasan hutan bakau seluas 1.2 hektar di Hutan Simpan Kekal Tanjung Tuan, di sini, terjejas teruk akibat kesan tumpahan minyak yang memerlukan tempoh dua tahun di bawah pemantauan.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan, berkata penanaman semula pokok bakau di kawasan pantai itu tidak akan berhasil kerana kesan tumpahan minyak di kawasan berkenaan sudah meresap jauh ke dalam bumi.

“Kerajaan negeri akan menunggu hasil kajian Institut Alam Sekitar dan Pembanguna­n UKM di kawasan terbabit yang dijangka mengambil masa dua tahun.

“Jadi, kita tidak akan menyegerak­an rancangan menanam semula pokok bakau kerana kerajaan negeri harus menunggu keputusan kajian pakar institut berkenaan yang diketuai Dr Aldrie Amir.

“Sekarang, lebih 800 pokok bakau sedang sakit dan berdasarka­n kajian Dr Aldrie, pokok yang sakit tidak boleh diusik, sebaliknya ia memerlukan kajian selama dua tahun,” katanya pada sidang media selepas melawat kawasan terjejas di Pantai Cermin, Tanjung Tuan, semalam.

Selain diberikan taklimat oleh Dr Aldrie, beliau turut mendengar taklimat Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Osman; Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Khirun Nizam Abdul Rahim dan Pegawai Laut Jabatan Laut Wilayah Tengah (Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka), Reduan Mohd Ali.

Abd Ghafaar (kiri) meninjau

Lawatan itu susulan laporan muka depan BH pada Ahad lalu mengenai keadaan hutan pesisir pantai Tanjung Tuan yang menjadi penampan penting hakisan pantai di Melaka kini berada dalam situasi nazak. Ia dijangka bakal lenyap selepas sisa tumpahan minyak kapal dari Selat Melaka pada 14 Oktober lalu dikesan begitu banyak ‘mendarat’.

Abd Ghafaar berkata, sebelum ini Jabatan Perhutanan sedia menanam semula pokok bakau di kawasan terjejas itu dan bagi kerja pembersiha­n sisa minyak, ia dilaksanak­an dari 14 hingga 19 Oktober 2020 selepas Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah berpuas hati dengan Laporan Penilaian Shorelines Cleanup Assessment Technique (SCAT).

“Pemantauan berterusan mendapati keseluruha­n kawasan paya bakau bebas daripada pencemaran tumpahan minyak kapal. Pengawasan kualiti air marin dijalankan JAS pada 24 Oktober dan 31 Oktober lalu menunjukka­n Indeks Kualiti Air Marin adalah Kelas Satu, kategori terbaik dengan bacaan skala 90-100 dan tiada bacaan minyak dikesan,” katanya.

 ?? (Foto Hasan Omar/bh) ?? kesan tumpahan minyak di Pantai Cermin, Tanjung Tuan, semalam.
(Foto Hasan Omar/bh) kesan tumpahan minyak di Pantai Cermin, Tanjung Tuan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia