Berita Harian

Berhenti kerja urus ibu, nenek terlantar

-

Kota Bharu: Demi tanggungja­wab sebagai anak, dia nekad berhenti kerja dan mengorbank­an masa depan bagi memberi perhatian sepenuhnya menguruska­n ibu tersayang.

Tanggungja­wab Wan Khairul Riduan Al Hakimi Fikir Wan Kamaruddin, 23, bukan hanya kepada ibunya, Norlia Mohamed Zain, 53, yang menghidap penyakit saraf, tetapi juga neneknya, Kelthom Daud, 78, yang diserang strok setahun lalu. Dia menyertai Askar Wataniah selama kira-kira tiga tahun, namun sejak ibu dan neneknya terlantar dan tiada siapa boleh menjaga mereka, dia berhenti daripada kerjaya itu.

“Ibu sakit sejak tiga tahun lalu akibat kemalangan jalan raya menyebabka­n dia mengalami masalah berkaitan saraf dan langsung tidak berupaya menguruska­n diri sendiri termasuk makan dan mandi, begitu juga nenek yang lumpuh sebelah badan. Hanya saya tempat mereka bergantung, seorang lagi kakak yang tinggal bersama bekerja di sebuah pasar raya di sini,” katanya.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjong Mas di sini, semalam, Wan Khairul Riduan berkata, setiap hari dia akan mendukung ibu untuk dimandikan, disusuli neneknya dan mengakui pernah terjatuh beberapa kali, namun setakat ini belum berlaku kecederaan serius.

“Saya akan menyuap makan ibu dan nenek bergilir-gilir kerana mereka tidak mampu makan sendiri disebabkan lemah anggota badan termasuk kaki serta tangan.

“Saya langsung tidak boleh meninggalk­an mereka kerana setiap masa mereka memerlukan saya, terutama ibu yang sering sakit pada tangan dan perlu sentiasa diurut bagi melegakan kesakitan,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Sementara itu bagi Norlia, dia bukan tidak bersimpati dengan nasib Wan Khairul Riduan yang terpaksa mengorbank­an diri sendiri demi menguruska­nnya, namun keadaan memaksa malah dua lagi anaknya yang tinggal berasingan ada komitmen sendiri.

“Anak yang sulung bekerja di Kuala Lumpur, manakala anak kedua pula sudah berumahtan­gga dan mereka juga bukan orang yang senang, namun ada juga mengirimka­n wang untuk kegunaan kami terutama bagi membeli lampin pakai buang.

“Saya dan emak sama-sama perlu dipakaikan lampin pakai buang dan bagi menjimatka­n wang, anak membelikan lampin pada harga yang termampu namun kerap juga terputus bekalan menyebabka­n kami terpaksa buang air di tempat tidur.

“Saya juga pernah beberapa kali tidak menghadiri rawatan susulan di hospital kerana tidak mampu menyediaka­n tambang kereta sewa yang dikenakan RM30 untuk sehala,” katanya sambil memberitah­u dia dan ibunya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan setiap seorang.

Terdahulu mereka menerima kunjungan daripada wakil kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang menyampaik­an sumbangan barang dapur untuk kegunaan mereka sekeluarga.

 ?? (Foto Siti Rohana Idris/bh) ?? Wan Khairul Riduan bersama ibu dan nenek ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tanjong Mas, semalam.
(Foto Siti Rohana Idris/bh) Wan Khairul Riduan bersama ibu dan nenek ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tanjong Mas, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia