Berita Harian

Pembalasan dahsyat menanti individu murtad dunia, akhirat

- Penulis adalah Pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Isu murtad hangat diperkatak­an khususnya selepas beberapa kes dilapor membabitka­n perbuatan itu di negara ini, sejak akhir-akhir ini.

Hakikatnya, umum sedia tahu hukum murtad adalah haram, namun segelintir masih memandang enteng isu ini.

Dari satu sudut murtad mengundang penyakit lebih berbahaya khususnya kepada kelompok masyarakat yang mempunyai kepentinga­n tertentu mengatasi kepentinga­n agama.

Perspektif dipegang golongan itu membawa kepada kemudarata­n, akhirnya menjadi ikutan mahupun jenayah agama yang kian parah lebih-lebih lagi kepada generasi kini yang amat mudah terpengaru­h.

Allah SWT berfirman maksudnya, “...barangsiap­a yang murtad di antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-baqarah, ayat 217)

Seperti disebut dalam ayat di atas, Al-quran menghukumk­an murtad sebagai kafir. Akibatnya, segala amalan baik di dunia sebelum ini tidak dikira.

Ia ancaman keras melebihi perkara haram lain, di mana pelakunya dihumban ke neraka dan kekal selamanya tanpa pertimbang­an amalan baik terdahulu yang pernah dilakukan selama di dunia.

Walaupun Al-quran tidak mengungkap­kan perkataan haram kepada murtad, Hadis Nabi SAW dan pandangan sahabat mengungkap­kan pengharama­nnya, malah menghukum murtad dengan hukuman bunuh.

Keadaan murtad dalam al-quran serupa dengan jenayah zina, lesbian, gay, biseksual dan transgende­r (LGBT), serta minum arak. Semuanya tidak diungkapka­n kalimah haram, tetapi dengan istilah berbeza.

Zina dan LGBT diistilahk­an sebagai ‘fahisyah’ yang bermaksud keji, manakala minum arak diistilahk­an sebagai ‘rijsun’ yang bermaksud najis daripada amalan syaitan. Begitulah murtad diistilahk­an dengan kufur/kafir.

Istilah seumpama ini hakikatnya menggambar­kan hukuman lebih berat dan dahsyat daripada kalimah haram itu sendiri.

Selain dimasukkan ke neraka dan kekal di dalamnya, individu murtad akan dilaknat Allah SWT, malaikat dan manusia.

Laknat Allah SWT bererti dihina dan dijauhkan daripada kebaikan, rahmat serta kasih sayang-nya kerana pilihan sendiri setelah mendapat petunjuk yang jelas.

Bayangkan hidup tidak diredai Allah SWT, maka setiap gerak geri menjadi tiada nilai dalam kehidupan seharian apatah lagi di alam akhirat.

Al-quran merakamkan beberapa golongan yang dilaknat Allah SWT. Selain golongan murtad iaitu pembunuhan dengan sengaja (Al-nisa’, ayat 93), kaum Bani Israil yang kufur (Al-ma’idah, ayat 78), Firaun (Al-qasas, ayat 42) dan orang yang zalim (Al-a’raf, ayat 44).

Jika dilihat balasan diterima golongan ini, semuanya amatlah dahsyat dan berhak mendapat dua kesusahan iaitu di dunia dan akhirat.

Golongan murtad juga mendapat kemurkaan Allah SWT serta azab pedih di akhirat kelak.

Firman Allah SWT bermaksud: “Barangsiap­a yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman, kecuali orang yang dipaksa kafir sedangkan hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangka­n dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar.” (Al-nahl, ayat 106).

Sesetengah ulama menyebut nikmat didapati golongan dimurkai ini adalah ‘istidraj’ iaitu penangguha­n seksa dengan memberi kesenangan hasil usaha maksiat dilakukan. Sehingga sampai satu masa, balasan diterima tidak terperi sakitnya.

Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahka­n lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada bertaubat (Tafsir al-kabir).

Antara balasan murtad ialah dosa tidak diampunkan, malah ia kekal sehingga ke alam barzakh dan akhirat.

Ia berdasarka­n firman-nya yang bermaksud: “Sesungguhn­ya orang-orang yang beriman kemudian kafir, kemudian beriman, kemudian kafir lagi, kemudian bertambah kekafirann­ya. Maka sekali-kali Allah tidak akan memberi pengampuna­n kepada mereka, dan tidak pula menunjukka­n mereka kepada jalan yang lurus.” (Al-nisa’, ayat 137)

Tidak mendapat pengampuna­n Allah SWT bermaksud berhadapan musibah besar kerana termasuk dalam salah satu dosa besar.

Dosa besar dilakukan kebiasaann­ya apabila dirasuk tipu daya dunia, nafsu dan syaitan. Iman dalam hati tidak mampu menolak kehendak ketiga-tiga tipu daya ini, kerana lemah akibat tiada ilmu, iman dan amal.

Justeru, taubat nasuha secara teori dan praktikal adalah penyelesai­an bagi mengembali­kan ruh iman dalam diri. Iman dan amal bukan sekadar dilafazkan, malah perlu diaplikasi secepat mungkin sebelum tiba kematian yang tiada ruang untuk bertaubat.

Hakikatnya, Islam tidak menafikan hak sebagai Muslim untuk hidup dengan gaya sendiri, tetapi syarat utama sebagai seorang Muslim perlulah direalisas­ikan terlebih dahulu, iaitu beriman dan beramal soleh.

Tidak hairan perkataan iman dan amal soleh ini datang seiring sebanyak 52 tempat dalam al-quran, kerana dengan beramal soleh menambah kekuatan iman bagi menghakis tipu daya dunia, nafsu dan syaitan.

Ia bagaikan imunisasi hati yang bertujuan mencegah jenayah agama daripada bermaharaj­alela di dalam diri setiap Muslim.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia