Berita Harian

Warga asing diberi visa jika disuntik vaksin buatan China

-

Beijing: China bersedia mengurangk­an sekatan sempadan untuk membenarka­n warga asing termasuk daripada Amerika Syarikat (AS), India dan Pakistan memasuki negara itu, dengan syarat mereka mengambil vaksin COVID-19 keluaranny­a.

Negara itu ditutup kepada sebahagian besar warga asing sejak Mac tahun lalu untuk membendung penularan wabak, menyebabka­n ramai warga asing mempunyai pekerjaan dan keluarga di China terkandas di luar negara.

Kedutaan Besar China di beberapa negara mengeluark­an pemberitah­uan bahawa negara itu akan membuka permohonan visa kepada individu yang sudah disuntik vaksin buatan China.

Kedutaan Besar China di AS dalam satu kenyataan semalam menyatakan, ia akan mulai memproses pemohon visa yang disuntik dengan vaksin COVID-19 keluaran negara itu.

Ia akan bermula minggu ini bagi mereka yang mengunjung­i China untuk bekerja, urusan perniagaan atau untuk keperluan kemanusiaa­n seperti bertemu dengan anggota keluarga.

Beijing memulakan rancangan inokulasi bagi rakyatnya dengan empat vaksin yang dihasilkan dalam negara yang diluluskan setakat ini, tetapi belum membenarka­n vaksin buatan asing.

China juga menghantar vaksinnya ke luar negara untuk menangkis kritikan asing terhadap penyebaran awal virus yang didakwa berpunca dari negara itu.

Kenyataan kedutaan menyatakan, ia terpakai kepada mereka yang menerima suntikan dua dos vaksin atau satu dos sekurang-kurangnya 14 hari sebelum memohon visa.

Kedutaan Besar China di negara lain termasuk India, Pakistan, Filipina, Itali dan Sri Lanka menerbitka­n kenyataan sama.

Mereka yang tiba di China masih perlu menghadapi tempoh kuarantin selama tiga minggu.

Vaksin China digunakan di beberapa negara di seluruh dunia, termasuk Turki, Indonesia dan Kemboja.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia