Berita Harian

PSM belanja RM10 juta ganti rumput Stadium Nasional Bukit Jalil

-

Kuala Lumpur: “Sayang sungguh Stadium Nasional Bukit Jalil sudah berkelas dunia, tetapi padang seperti padang sekolah!”

Mungkin rungutan itu tidak lagi akan ditimbulka­n selepas ini khususnya oleh penyokong bola sepak apabila Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan berbelanja RM10 juta untuk menggantik­an sepenuhnya rumput di stadium itu dengan rumput berkelas dunia.

Malah, keputusan itu adalah tindakan terbaik selepas Stadium Nasional Bukit Jalil terus menjadi ‘Rumah Harimau Malaya’ untuk tempoh lima tahun lagi selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengumumka­n lanjutan perjanjian bersama sehingga 31 Disember 2025.

Ini adalah lanjutan daripada perjanjian yang sudah dimeterai pada Ogos 2019 sebelum ini yang menyaksika­n Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi gelanggang rasmi skuad kebangsaan sehingga 31 Disember tahun lalu.

Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes mengakui isu padang stadium terbabit sering menjadi kritikan dan ia tidak ‘sehebat’ fasiliti lain yang ada di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kita sudah ada stadium yang cantik, boleh memuatkan sehingga 80,000 penyokong dan fasiliti yang baik tetapi apa yang penting adalah padang.

“Kita mahu pasukan seperti Barcelona atau pasukan dari luar datang bermain di sini dan ingat yang mereka pernah beraksi di sini.

“Saya percaya padang di Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi antara yang terbaik di dunia,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatan­gani Lanjutan Perjanjian antara FAM dan PSM di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Sebagai rekod, projek terbabit dijangka bermula pada Jun ini dan akan memakan masa sekurang-kurangnya sembilan bulan untuk siap sepenuhnya.

Malah, rumput yang akan digunakan adalah rumput baharu dan bukanlah rumput terpakai namun PSM masih belum memutuskan jenis rumput yang bakal menjadi ‘permaidani baharu’ Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam perkembang­an sama, Tony memaklumka­n antara pembaharua­n lain yang turut diperkenal­kan adalah pengenalan Muzium Sukan yang buat masa ini masih lagi berada fasa perbincang­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia